MA”RIFAT BILLAH
Tiada yang berkuasa melainkan Allah s.w.t; tiada yang berkehendak melainkan apa yang dikehendaki Allah s.w.t; tidak ada daya dan upaya melainkan daya dan upaya yang dari Allah s.w.t. Segala sesuatu datangnya dari Allah s.w.t dan kembali kepada-Nya.
Mata hatinya melihat bahawa segala kewujudan selain Zat Allah s.w.t, sifat Allah s.w.t, perbuatan Allah s.w.t dan asma’ Allah s.w.t hanyalah kewujudan yang tidak berhakikat. Inilah makam arifbillah, iaitu orang yang benar-benar mengenal Allah s.w.t.
Harapan Dan Angan-angan
HARAPAN ADALAH YANG DISERTAI AMAL. JIKA TIDAK IA ADALAH ANGAN-ANGAN.
Harapan dan angan-angan adalah dua perkara yang serupa tetapi datang melalui saluran yang berlainan, lalu meninggalkan kesan yang berbeza. Segala perkara yang datangnya dari Kudrat dan Iradat Allah s.w.t akan diasingkan apabila sampai ke perbatasan langit dunia. Sebahagiannya diserahkan kepada dunia dan sebahagian lagi dipelihara daripada gangguan dunia. Apa sahaja yang diserahkan melalui dunia akan melahirkan kekeliruan dan keraguan serta menutup kebenaran. Apa yang tidak diusik oleh dunia akan tetap berada dalam kesucian yang murni dan tidak putus dari tali kebenaran. Sesiapa yang menerima hidangan dari dunia akan menerima kesannya iaitu gambar-gambar sangkaan dan khayalan. Salah satu kesan yang didatangkan oleh dunia adalah angan-angan. Angan-angan adalah sejenis alam khayalan yang berada di bawah bumbung langit dunia. Di dalam alam ini seseorang itu boleh mendapatkan apa sahaja dengan cara berkhayal, dan yang diperolehi dari khayalan itu menimbulkan sejenis kelazatan atau kepuasan kepada nafsu orang yang berkenaan. Misalnya, seorang pemuda yang tergilakan seorang gadis, boleh mendapatkan gadis itu di dalam alam khayal dan berbuat apa sahaja yang mendatangkan kelazatan dan kepuasan. Alam khayalan ini juga yang menyambut penagih-penagih dadah dan peminum arak. Banyaklah yang boleh didapati di dalam alam khayalan, tetapi apabila kesedaran datang semula seseorang itu akan berpisah daripada semua yang dimilikinya di dalam alam khayalan tadi. Kelazatan di sana boleh dinikmati di sana sahaja, tidak boleh dibawa kepada alam nyata ini.
Pada saluran yang tidak diganggu oleh dunia, perkara yang berbeza terjadi. Apabila seseorang memperolehi kurniaan dari Allah s.w.t yang tidak dikotori oleh dunia, akan lahirlah satu tenaga di dalam dirinya yang dinamakan harapan. Jika angan-angan mengheret seseorang kepada alam khayalan, harapan pula mengemaskan kedudukannya berpijak di atas bumi kenyataan. Tenaga harapan adalah tenaga yang datangnya dari Allah s.w.t. Pengurniaan tenaga harapan adalah tanda bahawa si hamba itu diasingkan daripada kekufuran kerana tidak berputus asa melainkan orang kafir. Tenaga harapan menjadi benteng memisahkan iman daripada kufur. Orang yang memperolehinya sebenarnya mendapat taufik dan hidayat dari Allah s.w.t. Apabila Allah s.w.t mengurniakan kepada hamba-Nya harapan itu tandanya yang Dia berkenan membawa si hamba itu kepada apa yang diharapkan. Tenaga harapan akan menggerakkannya menuju kepada apa yang disediakan untuknya. Pergerakan atau amal tidak terpisah daripada tenaga harapan. Jauh sekali perbezaan antara orang yang berharap dengan orang yang berangan-angan. Rasulullah s.a.w bersabda: Orang bodoh adalah yang memperturutkan hawa nafsunya dan berangan-angan mendapatkan syurga dari Allah s.w.t. ( Maksud Hadis )
Allah s.w.t berfirman: Dan sangkaan kamu yang demikian, yang kamu sangka terhadap Tuhan kamu, itulah yang telah membinasakan kamu; (dengan sangkaan kamu yang salah itu) maka menjadilah kamu dari orang-orang yang rugi!” ( Ayat 23 : Surah Fussilat )
Orang yang diheret oleh angan-angan akan jatuh ke dalam jurang kebinasaan, rugi di dunia dan lebih rugi lagi di akhirat. Orang yang diheret oleh harapan dengan berbagai-bagai amal itulah yang berjaya, baik di dunia dan lebih baik lagi di akhirat.
Tujuan Orang Arif Billah
MAKSUD DAN TUJUAN ORANG ARIFBILLAH ADALAH BENAR DALAM UBUDIYAH (KEHAMBAAN) DAN MELAKSANAKAN HAK-HAK RUBUBIAH (KETUHANAN).
Insan adalah ciptaan Allah s.w.t yang paling istimewa kerana padanya digabungkan aspek zahir dengan aspek batin. Aspek zahirnya menyerupai alam semesta dan aspek batinnya berkaitan dengan hal-hal ketuhanan. Hal-hal ketuhanan yang menyinari batin manusia itulah yang menyebabkan sekalian malaikat diperintahkan sujud kepada Adam a.s, bapa kepada sekalian insan.
(Ingatkanlah peristiwa) tatkala Tuhanmu berfirman kepada malaikat: “Sesungguhnya Aku hendak menciptakan manusia – Adam – dari tanah; Kemudian apabila Aku sempurnakan kejadiannya dan Aku tiupkan padanya roh dari (ciptaan)-Ku, maka hendaklah kamu sujud kepadanya”. ( Ayat 71 & 72 : Surah Saad )
Hati nurani atau rohani manusia ada perkaitan dengan roh urusan Allah s.w.t. Ini yang menjadikan manusia sebagai makhluk yang paling mulia, sehingga malaikat diperintahkan sujud kepada manusia. Roh urusan Allah s.w.t menjadi nur yang memberi petunjuk kepada manusia. Hati nurani yang diterangi oleh nur ini akan terpimpin kepada jalan Allah s.w.t. Roh urusan Allah s.w.t itulah yang memungkinkan segala urusan sampai kepada Allah s.w.t, termasuklah ibadat, amalan, doa, rayuan dan apa sahaja yang manusia lakukan. Orang arifbillah menyedari dan menghayati hakikat ini. Kesedaran terhadap roh urusan Allah s.w.t itu membuat mereka menjadikan benar dalam ubudiyah (kehambaan) sebagai tujuan hidup mereka dan pada masa yang sama juga mereka menunaikan hak ketuhanan. Kehambaan dinyatakan melalui syariat:
Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat-Ku. ( Ayat 56 : Surah adz-Dzaariyaat )
Hak ketuhanan Allah s.w.t pula dinyatakan melalui pandangan hakikat:
“Kerana sesungguhnya aku telah berserah diri kepada Allah, Tuhanku dan Tuhan kamu! Tiadalah sesuatupun dari makhluk-makhluk yang bergerak di muka bumi melainkan Allah jualah yang menguasainya. Sesungguhnya Tuhanku tetap di atas jalan yang lurus”. ( Ayat 56 : Surah Hud )
Maka bukanlah kamu yang membunuh mereka, akan tetapi Allah jualah yang menyebabkan pembunuhan mereka. Dan bukanlah engkau (wahai Muhammad) yang melempar ketika engkau melempar, akan tetapi Allah jualah yang melempar (untuk membinasakan orang-orang kafir). ( Ayat 17 : Surah al-Anfaal )
Jalan syariat memperbaiki amal dan jalan hakikat pula menyaksikan Rububiyah, tidak luput dari Hadrat Allah s.w.t dalam segala perkara dan pada setiap masa. Bila dua jalan tersebut berpadu sebagai satu jalan, lahirlah amal zahir dan amal batin yang tidak bercerai tanggal. Orang arifbillah bersungguh-sungguh mengerjakan tuntutan syariat dan pada masa yang sama beriman serta bertawakal sambil menyaksikan hakikat ketuhanan (Rububiyah) menguasai segala sesuatu.
Tidak ada yang hidup, yang berkuasa, yang berkehendak, yang mengetahui, yang mendengar, yang melihat dan yang berkata-kata melainkan semuanya di bawah urusan Rububiyah. Apa sahaja yang berada di dalam genggaman atau diheret oleh Rububiyah itu dinamakan ubudiyah. Rububiyah adalah kewujudan yang memerintah dan ubudiyah pula kewujudan yang diperintah.
Hati yang suci bersih, apabila disinari oleh Nur Ilahi, berpeluang mengembara secara kerohanian dari ubudiyah kepada Rububiyah untuk memperolehi makrifat-Nya. Pengembaraan kerohanian bermula dari alam kebendaan (nasut), naik ke alam lakuan (malakut) dan seterusnya ke alam sifat (Jabarut). Kemudian dia melalui asma’ (nama-nama Allah s.w.t) dan hakikat segala sesuatu. Seterusnya dia mencapai fanafillah (hilang lenyap kesedaran diri di bawah penguasaan Allah s.w.t). Setelah melepasi daerah fana dia masuk kepada daerah baqabillah (kesedaran kekal bersama-sama Allah s.w.t). Kemudian dia turun kepada kesedaran sifat (Jabarut). Di dalam daerah ini dia mengenali hakikat dirinya dan Hakikat Insan (manusia), iaitu suasana Rububiyah yang menguasai sekalian manusia dan juga dirinya. Bila dia turun lagi, dia kembali kepada alam insan semula, memikul amanah sebagai khalifah Allah yang bertanggungjawab menjalankan perintah Allah s.w.t di atas muka bumi ini. Salik yang telah menyempurnakan pengembaraannya dan mendapat amanah kekhalifahan itulah yang dinamakan arifbillah. Martabat ini dicapai dengan menghapuskan segala kepentingan diri sendiri ke dalam kefanaan Allah s.w.t, sehingga mencapai makam baqa.
Orang arifbillah mengalami dan mengenali suasana ubudiyah dan Rububiyah. Dia telah berjaya menyatukan syariat dan hakikat. Taat kepada Allah s.w.t dan Rasul-Nya dengan mematuhi perintah-Nya, menjauhi larangan-Nya dan berjalan sesuai dengan Sunah Rasulullah s.a.w, adalah tujuan dan maksud orang arifbillah. Mereka kuat melakukan amal ibadat tetapi tidak melihat kepada amal itu. Segala sesuatu dikembalikan kepada Allah s.w.t. Allah s.w.t yang memberi petunjuk dan Dia juga yang memberi kekuatan untuk melakukan ketaatan kepada-Nya. Tidak ada yang berlaku melainkan di bawah takluk Kudrat dan Iradat Allah s.w.t jua.
Kearifan tidak berpisah dengan ubudiyah. Rasulullah s.a.w merupakan manusia yang paling arif dan baginda s.a.w jugalah yang menjadi manusia yang paling kuat berbuat ubudiyah di antara sekalian makhluk.
Alam Pada Dhahirnya Dan Batin
ALAM INI PADA ZAHIRNYA ADALAH TIPUAN DAN BATINNYA ADALAH PERINGATAN. NAFSU MEMANDANG KEPADA ZAHIRNYA YANG MENIPU DAYA, SEMENTARA HATI PULA MEMANDANG KEPADA BATINNYA YANG MEMBERI PERINGATAN.
Alam maya ini boleh dilihat melalui dua aspek, iaitu aspek zahir dan aspek batin. Aspek zahir memperlihatkan satu keadaan sementara aspek batin pula memperlihatkan keadaan yang lain. Bagi memudahkan pemahaman alam boleh dibahagikan kepada dua bahagian, iaitu alam rendah yang dikenali sebagai dunia dan alam tinggi yang dikenali sebagai alam malaikat (alam malakut). Alam dunia adalah tempat kediaman manusia dan juga musuh manusia iaitu syaitan. Manusia menjadi permata bagi dunia. Dunia ini diciptakan khas untuk ditempatkan manusia buat melaksanakan hukum ketentuan Allah s.w.t pada azali. Manusia dijadikan khalifah atau penguasa yang bertanggungjawab menjalankan perundangan Tuhan yang telah siap digubal dan dibentangkan. Dalam melaksanakan tugasnya manusia tidak dibiarkan dalam kebingungan. Tuhan sentiasa menghantarkan ayat-ayat-Nya, tanda-tanda dan petunjuk sebagai penyuluh jalan bagi manusia selaku pelaksana hukum Tuhan. Ayat-ayat, tanda-tanda dan petunjuk yang disampaikan kepada manusia adalah bersesuaian dengan sifat manusia dan alam dunia yang mereka diami. Utusan Allah s.w.t yang menyampaikan ayat-ayat, tanda-tanda dan petunjuk kepada manusia dipilih dari kalangan manusia sendiri dan bertutur dalam bahasa manusia. Manusia mendengar para Rasul membacakan ayat-ayat Allah s.w.t dalam bahasa yang mereka fahami. Rasul-rasul pada zahirnya bersifat sebagai manusia tetapi pada batinnya adalah juru-bicara Allah s.w.t, menyampaikan apa yang Allah s.w.t mahu sampaikan. Bahasa yang digunakan pada zahirnya adalah bahasa manusia tetapi pada batinnya adalah Kalam Allah s.w.t.
Dalam melaksanakan tugas membawa risalat, Rasul-rasul diperkuatkan dengan mukjizat. Mukjizat tersebut pada zahirnya merupakan perubahan yang luar biasa terjadi pada anasir alam, tetapi pada batinnya adalah pertunjukan kekuasaan Tuhan. Dalam kehidupan harian manusia melihat berbagai-bagai kejadian seperti curahan air hujan, tiupan angin, alunan ombak dan lain-lain. Mereka melihat kejadian alam pada zahirnya tetapi pada batinnya adalah perjalanan peraturan Allah s.w.t. Manusia juga pada zahirnya mengalami berbagai-bagai peristiwa tetapi pada batinnya adalah takdir Ilahi. Jadi, seluruh aspek kehidupan dalam alam dunia ini merangkumi aspek zahir dan aspek batin.
Aspek zahir memperlihatkan benda-benda alam dan aspek batin menyatakan hubung-kait segala sesuatu dengan Tuhan. Jika pandangan hanya tertuju kepada aspek zahir maka hanya benda-benda alam dan peristiwa yang kelihatan, tidak ada kenyataan tentang Tuhan. Pandangan yang hanya memperlihatkan alam akan mengwujudkan sikap bebas merdeka, tidak berasa bergantung kepada Tuhan, tidak berasa malu melakukan maksiat jika tidak dilihat oleh sesama manusia walaupun Tuhan melihatnya. Orang yang memiliki pandangan begini adalah orang yang memperturutkan hawa nafsunya yang sentiasa gelojoh dan berselera dengan benda-benda alam. Pandangan yang seperti ini menjemput syaitan supaya ikut sama memperindahkan benda-benda yang digemari oleh hawa nafsu itu. Pandangan nafsu yang membelakangi Tuhan akan dibungkus oleh pandangan syaitan. Allah s.w.t berfirman:
Dengan yang demikian, bagaimana fikiranmu (wahai Muhammad) terhadap orang yang menjadikan hawa nafsunya: tuhan yang dipatuhinya, dan ia pula disesatkan oleh Allah kerana diketahui-Nya (bahawa ia tetap kufur ingkar), dan dimeteraikan pula atas pendengarannya dan hatinya, serta diadakan lapisan penutup atas penglihatannya? Maka siapakah lagi yang dapat memberi hidayah petunjuk kepadanya sesudah Allah (menjadikan dia berkeadaan demikian)? Oleh itu, mengapa kamu (wahai orang-orang yang ingkar) tidak mahu beringat dan insaf? ( Ayat 23 : Surah Jaathiyah )
Orang yang pandangan nafsunya dibungkus oleh pandangan syaitan akan mengalami keadaan yang lebih berat.
(Dengan sebab keingkaran mereka), Allah meteraikan atas hati mereka serta pendengaran mereka, dan pada penglihatan mereka ada pentutupnya; dan bagi mereka pula disediakan azab seksa yang amat besar. ( Ayat 7 : Surah al-Baqarah )
Kesudahannya mereka sampai kepada keadaan: (Orang-orang yang melakukan perkara-perkara tersebut) merekalah yang dilaknat oleh Allah serta ditulikan pendengaran mereka, dan dibutakan penglihatannya. (Setelah diterangkan yang demikian) maka adakah mereka sengaja tidak berusaha memahami serta memikirkan isi Al-Quran? Atau telah ada di atas hati mereka kunci penutup (yang menghalangnya daripada menerima ajaran Al-Quran)? ( Ayat 23 & 24 : Surah Muhammad )
Pendengarannya tidak dapat lagi mendengar kebenaran dan penglihatannya tidak dapat lagi melihat kebenaran. Inilah keadaan orang yang dilaknat oleh Allah s.w.t. Allah s.w.t telah melaknatkan seorang hamba-Nya, maka berubah sifat hamba itu dari orang salih menjadi iblis dan gugurlah segala amalan yang pernah dikerjakannya. Jika Allah s.w.t melaknatkan seseorang bani Adam maka dia akan menjadi syaitan berbangsa manusia. Manusia syaitan akan mendorong manusia lain supaya mengikutnya pergi ke neraka. Supaya terselamat dari keadaan tersebut Rasulullah s.a.w menasihatkan dengan peringatan:
Sesungguhnya di dalam jasad anak Adam itu ada seketul daging. Jika baik ia nescaya baiklah semua anggotanya. Bila jahat ia nescaya jahatlah seluruh anggotanya. Ketahuilah, itulah kalbu (hati). ( Maksud Hadis )
Allah s.w.t berfirman:
Sesungguhnya berjayalah orang yang menjadikan dirinya – yang sedia bersih – bertambah-tambah bersih (dengan iman dan amal kebajikan), Dan sesungguhnya hampalah orang yang menjadikan dirinya – yang sedia bersih – itu susut dan terbenam kebersihannya (dengan sebab kekotoran maksiat). ( Ayat 9 – 10 : Surah asy-Syams )
Penyucian hati adalah penyelamat manusia dari tertipu oleh benda-benda alam dan kejadian yang zahir. Hati yang suci bersih dapat melihat terus ke dalam batin bagi setiap yang zahir. Bila dia mendengar bacaan ayat-ayat Quran hatinya mendengar ucapan Kalam Allah s.w.t. Bila dia melihat sesuatu peristiwa terjadi, hatinya melihat perjalanan takdir Allah s.w.t. Bila dia melihat sesuatu kegemparan hatinya melihat kekuasaan Allah s.w.t. Apa juga yang zahir yang dilihatnya akan membuat hatinya melihat manifestasi ketuhanan padanya. Tiada sesuatu yang terlepas daripada ikatan ketuhanan (Ilahi).
Pandangan terhadap ketuhanan bukan setakat alam dunia, malah rohaninya mencapai alam malakut dengan mata hatinya tetap tidak berganjak dari melihat kepada ketuhanan. Hatinya melihat bahawa malaikat tidak mempunyai kuasa walau sebesar zarah pun untuk berbuat sekehendaknya. Semuanya tunduk dan patuh kepada Allah s.w.t. Walaupun sekalian malaikat berkumpul untuk menolongnya dia tetap melihat bahawa Penolong sebenar adalah Allah s.w.t, Tuhan sekalian alam. Begitulah pandangan mata hati yang tidak dilindungi oleh yang zahir untuk dia melihat kepada yang batin.
Kemulian Yang Kekal dan Abadi
JIKA ENGKAU BERKEHENDAKKAN KEMULIAAN YANG ABADI JANGANLAH ENGKAU MENCARI KEMULIAAN YANG SEMENTARA.
Manusia mencari kemuliaan melalui berbagai-bagai cara. Mereka mencarinya melalui harta, pangkat dan kekuasaan. Ada yang mencarinya melalui ilmu dan amal. Ada yang mencarinya melalui wajah yang cantik dan suara yang merdu. Ada pula mencarinya melalui tindakan yang mencabar seperti terjun dari tempat yang tinggi. Semua kemuliaan yang diperolehi dengan cara demikian bersifat sementara. Bila orang yang berkenaan berpisah daripada alat yang menjadikannya mulia maka hilang juga kemuliaan yang dimilikinya. Semua kemuliaan tersebut adalah fatamorgana. Orang yang berpangkat, berkuasa dan berharta akan tidak berasa mulia lagi bila berhadapan dengan orang yang tinggi pangkatnya, lebih besar kuasanya dan lebih banyak hartanya. Orang yang dimuliakan kerana kecantikannya tidak dimuliakan lagi apabila wajahnya sudah berkedut. Orang yang dimuliakan kerana kemerduan suaranya tidak dimuliakan lagi bila ada orang lain yang lebih merdu suaranya. Orang yang dimuliakan kerana berani terjun dari tempat yang tinggi tidak dimuliakan lagi bila ada orang lain yang lebih berani terjun dari tempat yang lebih tinggi.
Orang yang memiliki kemuliaan yang bersifat sementara itu tidak dapat merasakan kedamaian kerana bimbangkan kemuliaannya akan dicabar oleh orang lain. Orang yang dimuliakan kerana ilmu juga bimbang takut-takut ada orang lain yang lebih berilmu akan mengambil alih kedudukannya. Orang yang dimuliakan kerana kekuatan amal kebaikannya masih juga bimbang takut-takut orang ramai mendapat tahu akan keburukannya yang lalu atau yang tersembunyi. Semua kemuliaan tersebut akan berakhir apabila manusia mengalami kematian. Jasadnya disemadikan di dalam tanah dan kemuliaannya ditinggalkan di atas kuburnya.
Jika diperhatikan benar-benar didapati bahawa apa yang dikatakan kemuliaan bukanlah apa yang dimiliki dan bukan apa yang diletakkan oleh orang lain kepada seseorang itu. Kemuliaan dan kemegahan adalah perasaan yang timbul di dalam hati. Ada orang yang kuasanya tidak seberapa tetapi sudah merasakan sangat mulia. Ada orang yang hanya menjadi pemandu raja tetapi sudah berasa mulia seperti raja. Ada orang yang namanya disebutkan oleh pembesar negeri di hadapan khalayak ramai, pun sudah merasakan dirinya mulia.
Kalam Hikmat yang lalu telah memberi gambaran tentang aspek zahir serta aspek batin. Alam dalam aspek zahirnya adalah tipu daya. Kemuliaan dan kemegahan yang dibina di atas tapak zahir alam juga bersifat tipu daya, bukan asli dan sama sekali tidak kekal. Kemuliaan dan kemegahan yang demikian hanyalah sangkaan.
Tidaklah patut mereka (orang-orang munafik) mencari kekuatan dan kemuliaan di sisi orang-orang kafir itu, kerana sesungguhnya kekuatan dan kemuliaan itu ialah milik Allah, (diberikan-Nya kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya). ( Ayat 139 : Surah an-Nisaa’ )
Hanya Allah s.w.t yang memiliki kemuliaan. Tidak ada satu pun makhluk yang dapat mengwujudkan kemuliaan. Apa yang dicipta oleh makhluk hanyalah gambaran yang menurut sangkaan. Kemuliaan sejati hanya boleh didapati dari Allah s.w.t. Jalannya adalah dengan mengambil perhatian kepada aspek batin yang bersangkutan dengan ketuhanan. Hamba Allah s.w.t yang tidak tertipu oleh zahirnya alam akan terus berpegang pada aspek batinnya yang memberi peringatan dan petunjuk. Mereka bersabar dalam menempuh gelombang takdir Ilahi sehingga mereka terdampar di pantai keredaan Ilahi.
Di sana dipakaikan kepada mereka pakaian kemuliaan iaitu tauhid yang benar. Tauhidlah kemuliaan yang sejati dan abadi. Tauhid mengajarkan hanya Allah s.w.t Yang Maha Esa, Maha Mulia, tidak yang lain. Apabila hati seseorang sudah dipenuhi oleh tauhid maka ia dipenuhi oleh kemuliaan. Kemuliaan yang dipancarkan oleh tauhid tidak akan rosak binasa. Perpisahan daripada benda-benda alam, pendapat orang lain dan apa sahaja tidak sedikit pun menjejaskan hati yang bertauhid. Hati yang sudah penuh dengan kemuliaan Allah s.w.t tidak lagi menghiraukan penghinaan makhluk. Ia tidak berakhir dengan kematian kerana Allah s.w.t tidak binasa dan kemuliaan-Nya juga tidak binasa. Ia tetap mulia di dalam kuburnya, mulia ketika dibangkitkan dari kuburnya dan lebih mulia lagi di akhirat yang kekal abadi.
Penolakan Allah Lebih Baik Dari Pada Pemberian Makhluq
PEMBERIAN DARI MAKHLUK ADALAH KERUGIAN DAN PENOLAKAN DARI ALLAH ADALAH KEBAIKAN.
Hikmat di atas merupakan ucapan ahli tauhid yang sebenarnya. Orang yang benar-benar bertauhid menghukumkan bahawa sekiranya beliau menerima sebarang pemberian makhluk sedangkan hatinya tidak melihat bahawa pemberian itu sebenarnya dari Allah s.w.t, maka dia menerima pemberian itu tanpa hak
Firman Allah s.w.t: Allah jualah yang mencipta kamu; kemudian Ia memberi rezeki kepada kamu; sesudah itu Ia mematikan kamu; kemudian Ia menghidupkan kamu semula. Adakah di antara makhluk-makhluk yang kamu sekutukan dengan Allah itu sesiapa yang dapat berbuat sesuatu pun dari segala yang tersebut? Maha Suci Allah dan Tertinggi keadaan-Nya dari apa yang mereka sekutukan (dengan-Nya). ( Ayat 40 : Surah ar-Ruum )
Firman-Nya lagi: Bertanyalah kepada mereka (yang musyrik itu) : “Siapakah yang memberi rezeki kepada kamu dari langit dan bumi? Atau siapakah yang menguasai pendengaran dan penglihatan? Dan siapakah yang mengeluarkan makhluk yang hidup dari benda yang mati, dan mengeluarkan benda yang mati dari makhluk yang hidup? Dan siapakah pula yang mentadbirkan urusan sekalian alam?” (Dengan pertanyaaan-pertanyaan itu) maka mereka (yang musyrik) tetap akan menjawab (mengakui) dengan berkata: “Allah jualah yang menguasai segala-galanya!” Oleh itu, katakanlah: “(Jika kamu mengakui yang demikian), maka mengapa kamu tidak mahu bertakwa?” ( Ayat 31 : Surah Yunus )
Pegangan tauhid adalah jelas bahawa hanya Allah s.w.t yang berkuasa memberi sementara makhluk hanyalah ejen dalam menyampaikan pemberian itu. Menyambut pemberian dari tangan ejen dengan melupakan Pemberi yang sebenar adalah satu kesalahan yang layak jika dia dikatakan mengambil pemberian itu tidak secara hak. Al-Quran dengan jelas mengajarkan agar tidak berlaku syirik ketika menerima sesuatu, agar pemberian yang diterima itu menambahkan ketakwaan. tauhid juga mengajarkan:
Segala puji tertentu bagi Allah, Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan sekalian alam. Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani. ( Ayat 1 – 2 : Surah al-Faatihah )
Allah s.w.t sahaja Tuhan sekalian alam. Dia menguruskan sekalian makhluk-Nya dengan kemurahan dan kasih sayang. Jika seorang ibu sangat kasih dan mengambil berat tentang anaknya, maka lebih lagi kasih sayang dan perhatian Allah s.w.t kepada makhluk-Nya. Tanda Allah s.w.t mengasihi dan memberi perhatian kepada makhluk-Nya adalah Dia telah mengadakan ketentuan dan pembahagian sejak azali, lama sebelum makhluk diciptakan. Allah s.w.t telah pun mengadakan persediaan yang lebih dari cukup untuk menyambut makhluk yang akan diciptakan-Nya. Setiap makhluk yang Dia ciptakan, sekali pun sebesar zarah, telah pun ditentukan haknya sebelum ia diciptakan. Apabila makhluk sekaliannya diciptakan, masing-masing sudah dinanti oleh hak masing-masing, sudah ada habuan untuk mereka, hanya menunggu masa untuk menerimanya. Tidak ada makhluk yang diciptakan tanpa perkiraan dan habuan untuknya. Apa juga yang diterima oleh makhluk merupakan apa yang Allah s.w.t telah sediakan untuknya. Oleh itu, sangatlah tidak mengenang budi, sesiapa yang menerima sesuatu pemberian tetapi tidak melihat Allah s.w.t sebagai Pemberi yang sebenar. Allah s.w.t telah memberi jaminan:
Ia telah menetapkan atas diri-Nya memberi rahmat. ( Ayat 12 : Surah al-An’aam )
Jika ada di antara hamba-Nya yang tidak memperolehi apa yang dia inginkan, sebenarnya penolakan itu adalah rahmat juga dari Allah s.w.t.
Dan boleh jadi kamu suka kepada sesuatu padahal ia buruk bagi kamu. Dan (ingatlah), Allah jualah Yang mengetahui (semuanya itu), sedangkan kamu tidak mengetahuinya. ( Ayat 216 : Surah al-Baqarah )
Allah s.w.t menolak permintaan kamu kerana Allah s.w.t mahu menyelamatkan kamu dari kemudaratannya. Kamu tidak mengetahui tetapi Allah s.w.t mengetahui bahaya tersebut. Tanda kasihnya kepada kamu dielakkan bahaya itu daripada kamu walaupun kamu menyangkal. Orang yang mengenali sifat Pemurah dan Penyayang Allah s.w.t akan berasa tenang dan bersyukur tatkala menerima penolakan dari Allah s.w.t kerana dia yakin bahawa Allah s.w.t telah menyelamatkannya dari sesuatu bahaya dengan penolakan itu. Jadi, penolakan itu adalah ihsan Allah s.w.t kepada hamba-Nya yang lemah, jahil, tidak mengetahui apa yang tersembunyi dan tidak kuat menyelamatkan diri sendiri. Hanya Allah s.w.t yang telah mewajibkan Diri-Nya memberi rahmat yang bertindak menyelamatkan hamba-Nya walaupun si hamba itu sendiri tidak menyenanginya. Sekiranya Allah s.w.t menurut sahaja apa yang diingini oleh hamba-Nya tentu sahaja alam ini penuh dengan kebinasaan.
Allah SWT Dihormati karena sifat-sifat ketuhanannya
BARANGSIAPA BERIBADAT KEPADA ALLAH S.W.T KERANA MENGHARAPKAN SESUATU ATAU SUPAYA KETAATANNYA DAPAT MENOLAK KEDATANGAN SEKSAAN DARI ALLAH S.W.T, MAKA ORANG ITU TIDAK MENDIRIKAN KEWAJIPAN TERHADAP HAK SIFAT-SIFAT-NYA.
Ketaatan hamba kepada Allah s.w.t dibina di atas tiga dasar:
1: “Wahai Tuhan kami. Kurniakan kepada kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat dan selamatkan kami dari azab api neraka”.
2: “Ilahi! Engkau jualah maksud dan tujuan kami. Keredaan Engkau jua yang kami cari.
3: “Ilahi! Engkau jua maksud dan tujuan, tiada lain yang kami cari”.
1: “Wahai Tuhan kami. Kurniakan kepada kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat dan selamatkan kami dari azab api neraka”.
2: “Ilahi! Engkau jualah maksud dan tujuan kami. Keredaan Engkau jua yang kami cari.
3: “Ilahi! Engkau jua maksud dan tujuan, tiada lain yang kami cari”.
Orang Islam umumnya membina ketaatan mereka di atas dasar yang pertama. Orang yang masih pada peringkat mencari membinanya di atas dasar yang ke dua. Orang yang telah bertemu dengan yang dicari membinanya di atas dasar yang ke tiga. Hikmat di atas mengajak golongan pertama supaya memperbaiki diri mereka dengan cara membina ketaatan seperti golongan ke dua dan seterusnya mencapai peringkat golongan ke tiga.
Orang awam beribadat kepada Allah s.w.t kerana mengharapkan kurniaan dari-Nya yang berupa nikmat kesejahteraan hidup di dunia dan keselamatan di akhirat. Mereka membuat andaian bahawa jika mereka berbuat taat tentu Tuhan akan melayannya dengan lemah-lembut, memberikan kepada mereka kebaikan dan menghindarkan dari mereka bala bencana ketika mereka hidup di dunia serta menyelamatkan mereka dari api neraka di akhirat, seterusnya menempatkan mereka di dalam syurga yang abadi. Ketaatan golongan ini bermotifkan kepentingan peribadi. Rasulullah s.a.w bersabda:
Sekiranya tidak ada neraka tentu mereka tidak sujud kepada Allah s.w.t.
Jangan kamu berperangai seperti hamba yang jahat, jika takut, dia bekerja. Jangan kamu menjadi seperti pekerja yang jahat, jika tidak diberi upah, dia enggan membuat kerja.
Golongan kedua pula pergi kepada Islam yang lebih mendalam, dengan berbuat aslim (menyerah diri) kepada Allah s.w.t. Dalam pembentukan sifat aslim ini mereka melakukan ketaatan kepada Allah s.w.t kerana mengharapkan keredaan-Nya. Inilah golongan ahli tarekat . Amal ibadat dilakukan untuk membersihkan hati nurani agar dia dapat mendekati Allah s.w.t. Rasa kasihkan Allah s.w.t telah tumbuh dalam hati mereka. Pemahaman tentang Tuhan juga telah bertambah. Mereka sudah dapat melihat bahawa penyembahan dan ketaatan adalah kewajipan hamba kepada hak ketuhanan Allah s.w.t. Pemberian atau penolakan tidak sedikit pun mengecilkan hak tersebut. Allah s.w.t disembah kerana Dia adalah Tuhan. Dia ditaati kerana Dia adalah Tuhan. Dia bersifat dengan sifat-sifat ketuhanan yang mewajibkan Dia disembah dan ditaati. Tidak perlu lagi kepada sebarang alasan lain. Hamba Allah s.w.t tidak ada pilihan melainkan bergantung kepada-Nya, Allah s.w.t, yang bersifat dengan sifat-sifat iftiqar, yang mewajibkan yang lain bergantung kepadanya. Dia memiliki semua kekuasaan dan kekayaan. Dia yang memberi atau menolak. Segala-galanya adalah milik-Nya dan Dia boleh berbuat apa sahaja terhadap apa yang menjadi milik-Nya. Hamba yang menyedari hakikat ini sangatlah berhajat kepada keredaan Allah s.w.t, iaitu Allah s.w.t menerimanya sebagai hamba yang benar-benar melakukan kewajipan terhadap hak ketuhanan-Nya. Jika Allah s.w.t reda kepadanya Dia tidak akan mengadakan tuntutan kepadanya lantaran kelemahan dan kejahilannya dalam melaksanakan kewajipan terhadap hak ketuhanan tersebut.
Orang awam beramal kerana mengharapkan nikmat dari Allah s.w.t. Ahli tarekat beramal kerana mengharapkan keredaan Allah s.w.t. Bila hati sudah menjadi suci bersih dan jika diizinkan Allah s.w.t, pintu hakikat dibukakan kepadanya. Bila dia berhadapan dengan hakikat, dia tidak melihat amal sebagai kebaikan yang keluar dari dirinya, tetapi dia melihat amal itu adalah anugerah Allah s.w.t kepadanya. Jika Allah s.w.t yang mengurniakan amal, mengapa pula ada tuntutan terhadap amal itu. Pengalaman hakikat yang lebih mendalam membawa seseorang kepada suasana fana. Dalam fana amal dan kurnia tidak terlihat lagi. Keredaan Allah s.w.t juga tidak kelihatan. Mata hati hanya tertuju kepada Allah s.w.t. Allah s.w.t meliputi segala sesuatu. Dia meliputi keredaan-Nya, kurnia-Nya dan perbuatan-Nya. Walau ke mana pandangan dihalakan di sana kelihatan Allah s.w.t, tidak ada yang selain-Nya. Allah s.w.t berfirman:
Maka ke mana sahaja kamu arahkan diri (ke kiblat untuk menghadap Allah) maka di situlah arah yang diredai Allah; ( Ayat 115 : Surah al-Baqarah )
Maka ke mana sahaja kamu arahkan diri (ke kiblat untuk menghadap Allah) maka di situlah arah yang diredai Allah; ( Ayat 115 : Surah al-Baqarah )
Dan Ia tetap bersama-sama kamu di mana sahaja kamu berada. ( Ayat 4 : Surah al-Hadiid )
Ahli hakikat tidak melihat kepada dirinya, amalnya, kurniaan Allah s.w.t dan keredaan-Nya. Mereka melihat hikmat kebijaksanaan Allah s.w.t dalam menjalankan takdir-takdir, termasuklah dirinya, amalnya, kurniaan-Nya dan keredaan-Nya.
Uns (Jinak Hati Dengan Allah SWT)
APABILA KAMU BERASA HILANG MINAT KAMU KEPADA MAKHLUK, MAKA KETAHUILAH BAHAWA AKAN DIBUKAKAN KEPADA KAMU PINTU BERJINAK-JINAK DENGAN ALLAH S.W.T.
Kehidupan ini pada zahirnya dikawal oleh hukum sebab musabab. Hukum sebab musabab berjalan melalui makhluk, maka kelihatanlah tindakan makhluk mencorakkan berbagai-bagai keadaan dan peristiwa. Kehidupan ini adalah umpama sebuah keretapi. Pengalaman yang diharungi oleh seseorang menjadi batang-batang besi sambung menyambung membentuk landasan dan memaksa keretapi bergerak mengikut arah yang terbentuk. Keretapi tersebut bergerak mengheret gerabak-gerabak yang muatannya adalah berbagai-bagai anasir yang berkumpul dalam sistem sebab musabab, terdiri daripada berbagai-bagai jenis makhluk, memakai berbagai-bagai rupa dan nama. Semakin banyak sistem sebab musabab yang dikumpulkan semakin banyak juga makhluk yang mengenderai keretapi. Jika bahan yang dibawa terlalu banyak enjin keretapi tidak terdaya menarik gerabak-gerabak yang penuh dengan muatan itu. Keadaan ini memaksa keretapi berhenti kerana kehabisan tenaga. Tatkala itu semua bahan-bahan yang dimuatkan ke dalam gerabak keretapi perlu dinilai semula. Hasil daripada penilaian semula akan didapati banyak daripada muatannya adalah bahan yang tidak berguna. Sebahagiannya adalah sampah sarap dan sebahagian lagi benda-benda sisa buangan yang kotor dan menjijikkan. Banyak juga sisa toksid yang memudaratkan.
Sesiapa yang membuat penilaian semula terhadap bahan-bahan yang dimuatkan ke dalam gerabak keretapinya pasti akan menggelengkan kepalanya, melihat kebodohan dirinya sendiri mengangkut, mengheret dan menjaga benda-benda yang tidak berguna, kotor, menjijikkan dan memudaratkan. Lalu dia membuat keputusan untuk melepaskan gerabak-gerabak yang diisi dengan bahan-bahan yang demikian. Gerabak-gerabak tersebut dicantumkan oleh penyambung-penyambung. Penyambung perlu dibuang untuk melepaskan gerabak berkenaan. Penyambung yang perlu dibuang adalah yang dipanggil kasihkan dunia, panjang angan-angan, menurutkan syahwat, gemar kepada kemasyhuran, hasad dengki, dendam dan lain-lain yang seumpamanya. Dia sudah sedar bahawa penyambung-penyambung tersebutlah yang memaksanya membawa beban yang berat menyebabkan kuasa enjinnya digunakan dengan sia-sia. Bila semua penyambung berkenaan sudah dilepaskan maka terpisahlah semua gerabak yang diisi dengan bahan-bahan yang tidak berguna tadi. Keretapinya pun dapat meneruskan perjalanan dengan selesa.
Ketika di dalam suasana asbab, ahli asbab yang menghadapi makhluk yang bertindak dalam sistem sebab musabab akan mengadakan sebab musabab juga untuk melepaskan dirinya dari sebab musabab yang menguasainya. Kadang-kadang sebab musabab yang mendatang mengatasi kekuatan sebab musabab yang diciptanya. Dalam perkara ini, yang mendatang dapat mengalahkannya. Ini menyebabkan jiwanya berasa tertekan. Bila tekanan itu menjadi sangat kuat dan dia tidak berdaya menahannya, dia akan memberontak dengan melawan sistem sebab musabab itu sendiri, termasuklah makhluk yang terlibat dalam arus sebab musabab. Perlawanan yang dilakukannya bukanlah mengadakan sebab musabab yang lebih kuat, tetapi dia menentang dengan cara membebaskan dirinya dari sebab musabab, iaitu dia melepaskan rantai kekuasan makhluk terhadap dirinya. Dia menanggalkan asbab dan digantikannya dengan tajrid.
Dalam suasana asbab hati menghadap kepada makhluk dan sibuk melayani kerenah makhluk yang mendatanginya. Bila hati melangkah kepada suasana tajrid ia akan menghadap kepada Tuhan dan tidak mengambil berat tentang kerenah makhluk. Hati hanya mempunyai satu muka. Jika ia menghadap kepada makhluk ia membelakangi Tuhan dan jika ia menghadap kepada Tuhan ia membelakangi makhluk. Apabila Allah s.w.t berkehendak memberi taufik dan hidayat kepada hamba-Nya, hati hamba itu dipalingkan kepada-Nya. Hati yang menghadap kepada Allah s.w.t akan merasakan jalinan kemesraan dengan-Nya. Hati menyukai apa yang Allah s.w.t sukai. Ia gemar melakukan amal ibadat kerana Allah s.w.t sukakannya. Ia sanggup melakukan amal ibadat dengan banyak semata-mata kerana mahu menggembirakan Allah s.w.t. Tidak ada niat untuk dunia atau akhirat. Segala-galanya kerana Allah s.w.t. Suasana hati yang begini dinamakan uns, iaitu hati berasa jinak dengan Allah s.w.t.
Uns adalah sebahagian daripada pengalaman hakikat. Ia memberi tenaga kepada rohani agar kuat menempuh dugaan yang hebat dan gemar melakukan ibadat dengan bersungguh-sungguh. Uns menjadi tenaga yang membawa cinta-kasih yang mendalam terhadap Allah s.w.t. Cinta-kasih menjadi tangga untuk mencapai muraqabah. Muraqabah (bebas hati dari pengaruh makhluk) menjadi tangga untuk mencapai peringkat yang lebih tinggi, di mana hati nurani disinari oleh Nur Ilahi Yang Maha Suci membuka Cinta Hakiki yang tidak terbatas kepada zat Yang Maha Esa.
Tanda seseorang itu dibukakan kepadanya pintu uns yang boleh membawa kepada pintu-pintu lain adalah orang yang berkenaan tidak berminat untuk melayani kerenah makhluk. Dia lebih suka bersendirian dengan khalwatnya. Kegiatannya adalah mengingati Allah s.w.t sepanjang masa, ketika duduk, berdiri dan berbaring. Dalam suasana yang demikian terbukalah kepadanya pintu hikmah untuk menyaksikan kebesaran Allah s.w.t pada sekalian kejadian-Nya.
Al-Quran menceritakan hubungan hati yang menghadap kepada Allah s.w.t dan banyak mengingati-Nya sehingga terbuka pintu tafakur untuk mengenali Allah s.w.t:
(Iaitu) orang-orang yang menyebut dan mengingati Allah semasa mereka berdiri dan duduk dan semasa mereka berbaring mengiring, dan mereka pula memikirkan tentang kejadian langit dan bumi (sambil berkata): “Wahai Tuhan kami! Tidaklah Engkau menjadikan benda-benda ini dengan sia-sia, Maha Suci Engkau, maka peliharakanlah kami dari azab neraka”. ( Ayat 191 : Surah a-li ‘Imran )
Hati yang sudah berpaling kepada Allah s.w.t dipalingkan daripada tipu daya syaitan.
Sesungguhnya orang-orang yang bertakwa, apabila mereka disentuh oleh sesuatu imbasan hasutan dari syaitan, mereka ingat (kepada ajaran Allah), maka dengan itu mereka nampak (jalan yang benar). ( Ayat 201 : Surah al-A’raaf )
Begitulah, apabila Allah s.w.t mahu menolong hamba-Nya, dijinakkan hati hamba itu agar menghadap kepada-Nya dan dipelihara-Nya hati itu daripada musuh-musuhnya.
Nur Sifat Allah SWT Menerangi Rahasia Hati
DITERANGI-NYA YANG ZAHIR DENGAN CAHAYA ATHAR DAN DITERANGI-NYA RAHSIA HATI DENGAN NUR SIFAT-NYA. OLEH SEBAB ITU TERBENAM CAHAYA TERANG YANG ZAHIR TETAPI TIDAK TERBENAM CAHAYA KALBU DAN SIR (HATI DAN RAHSIA HATI). BERKATA ORANG BIJAK PANDAI : “ MATAHARI SIANG TERBENAM PADA WAKTU MALAM TETAPI MATAHARI HATI TIDAK TERBENAM.”
Makhluk ini asalnya ‘adam (tidak ada). ‘Adam menerima kewujudan dari kesan perbuatan Allah s.w.t. Ada perbezaan antara perbuatan dengan kesan perbuatan. Misalnya, melukis adalah perbuatan dan lukisan adalah kesan perbuatan. Kesan kepada perbuatan adalah baharu sementara perbuatan pula menunjukkan sifat si pembuat. Perbuatan tidak berpisah daripada sifat dan sifat tidak berpisah daripada zat atau diri yang berkenaan. Kesan perbuatan tidak sedikit pun menyamai sifat yang asli. Kewujudan yang lahir dari kesan perbuatan Allah s.w.t tidak sedikit pun menyamai sifat Allah s.w.t. Apa sahaja yang mengenai Allah s.w.t, termasuklah perbuatan-Nya adalah:
Tidak ada sesuatu yang serupa dengan-Nya.
Kewujudan baharu yang menjadi kesan kepada perbuatan Allah s.w.t dinamakan athar. Alam semesta adalah athar. Tidak ada dari kalangan athar yang boleh dijadikan gambaran, ibarat atau lukisan untuk menceritakan tentang Pencipta athar. Kewujudan athar hanya boleh dijadikan dalil untuk menunjukkan Wujud Maha Pencipta. Jika tidak ada tindakan dari Maha Pencipta tentu tidak ada kewujudan yang menjadi kesan dari tindakan tersebut.
Ahli ilmu merumuskan wujud alam menjadi bukti wujudnya Tuhan. Alam boleh menjadi bahan bukti kerana sifatnya yang boleh dilihat dan ada kenyataan mengenainya Ia menjadi nyata kerana ia diterangi oleh cahaya dan cahaya yang meneranginya adalah bahagian daripada athar juga. Matahari, bulan dan bintang adalah athar yang berkeupayaan memberikan cahaya. Sifat athar adalah berubah-ubah, tidak menetap. Cahaya yang keluar darinya juga berubah-ubah, dari terang kepada malap dan seterusnya terbenam. Allah s.w.t berfirman:
Dan demikianlah Kami perlihatkan kepada Nabi Ibrahim kebesaran dan kekuasaan (Kami) di langit dan di bumi, dan supaya menjadilah ia dari orang-orang yang percaya dengan sepenuh-penuh yaqin. Maka ketika ia berada pada waktu malam yang gelap, ia melihat sebuah bintang (bersinar-sinar), lalu ia berkata: “Inikah Tuhanku?” Kemudian apabila bintang itu terbenam, ia berkata pula: “Aku tidak suka kepada yang terbenam hilang”. Kemudian apabila dilihatnya bulan terbit (menyinarkan cahayanya), ia berkata: “Inikah Tuhanku?” Maka setelah bulan itu terbenam, berkatalah ia: “Demi sesungguhnya, jika aku tidak diberikan petunjuk oleh Tuhanku, nescaya menjadilah aku dari kaum yang sesat”. Kemudian apabila ia melihat matahari sedang terbit (menyinarkan cahayanya), berkatalah ia: “Inikah Tuhanku? Ini lebih besar”. Setelah matahari terbenam, ia berkata pula: “Wahai kaumku, sesungguhnya aku berlepas diri (bersih) dari apa yang kamu sekutukan (Allah dengannya). Sesungguhnya aku hadapkan muka dan diriku kepada Allah yang menciptakan langit dan bumi, sedang aku tetap di atas dasar tauhid dan bukanlah aku dari orang-orang yang menyengutukan Allah (dengan sesuatu yang lain). ( Ayat 75 – 79 : Surah al-An’aam )
Ibrahim a.s mencari Tuhan dengan matanya bersuluhkan cahaya-cahaya athar. Beliau a.s kecewa kerana semua cahaya itu tidak menetap dan tidak bertahan. Lalu beliau a.s meninggalkan cahaya athar dan menghadapkan hati serta Rahsia hatinya kepada Maha Pencipta. Baharulah beliau a.s mendapat keyakinan yang teguh kerana cahaya yang menerangi hati dan Rahsia hatinya tidak berubah, tidak pudar dan tidak terbenam. Beliau a.s melihat dengan jelas bahawa athar tetap athar, tidak ada satu pun yang boleh disekutukan atau disifatkan kepada Tuhan.
Kekeliruan tentang Tuhan terjadi kerana manusia melihat kesan perbuatan Tuhan sebagai perbuatan, kemudian meletakkan hukum bahawa perbuatan tidak berpisah daripada sifat dan sifat tidak berpisah daripada zat. Oleh sebab itu perbuatan juga zat. Jika zat menjadi Tuhan maka perbuatan juga Tuhan dan apa yang terbit dari perbuatan juga Tuhan. Begitulah kesesatan yang terjadi akibat percubaan melihat Tuhan dengan suluhan cahaya athar dan menggunakan hukum logik matematik.
Seseorang haruslah melihat kepada asalnya iaitu ‘adam (tidak wujud). ‘Adam adalah lawan bagi Wujud. Jika manusia berpaling kepada ‘adam maka dia akan terhijab dari Wujud Allah s.w.t. Pandangannya akan diliputi oleh athar yang juga datang dari ‘adam. Tidak mungkin manusia menemui jalan yang sebenar jika mereka melalui jalan yang berdasarkan asal kejadiannya iaitu ‘adam. Tuhan adalah Wujud, mustahil ‘adam. Wujud-Nya Esa, tidak berbilang sedangkan wujud athar yang dari ‘adam berbilang-bilang. ‘Adam tetap tidak ada walaupun banyak makhluk yang diciptakan daripadanya. Penciptaan yang demikian tidak menambahkan Wujud. Walau sebanyak mana pun makhluk yang diciptakan namun, Allah s.w.t tetap Esa. Usaha untuk menemui keesaan Wujud Allah s.w.t dengan menuruti jalan ‘adam adalah sia-sia. Kewujudan aspek kedua mestilah disingkap jika Allah s.w.t mahu ditemui. Kewujudan yang perlu disingkapkan itu adalah yang berhubung dengan Wujud Allah s.w.t, bukan yang datangnya dari ‘adam. Kewujudan yang berhubung dengan Wujud Allah s.w.t itu adalah rohani. Firman-Nya:
(Ingatlah peristiwa) tatkala Tuhanmu berfirman kepada malaikat: “Sesungguhnya Aku hendak menciptakankan manusia – Adam -dari tanah; Kemudian apabila Aku sempurnakan kejadiannya, serta Aku tiupkan padanya roh (ciptaan)-Ku, maka hendaklah kamu sujud kepadanya”. ( Ayat 71 – 72 : Surah Saad )
Katakan: “ Roh itu dari perkara urusan Tuhanku.” ( Ayat 85 : Surah al- Israa’ )
Roh adalah amr (urusan atau perintah) Allah s.w.t, tidak termasuk dalam golongan yang diperintah. Malaikat, jin dan lain-lain termasuk dalam golongan yang diperintah. Roh manusia adalah satu Rahsia Allah s.w.t. Ia dinisbahkan kepada Allah s.w.t, bukan kepada ‘adam. Pada tahap amr (urusan) Tuhan ia dipanggil Sir (Rahsia Allah s.w.t), atau Rahsia hati. Pada tahap berkait dengan jasad ia dinamakan kalbu atau hati. Semua kualiti yang baik adalah berkait dengan toh dan semua kualiti yang jahat berkait dengan ‘adam. Jika alam maya diterangi oleh cahaya athar, hati dan rahsia hati yang dinisbahkan kepada roh urusan Tuhan, diterangi oleh nur sifat Allah s.w.t. Kualiti hati dan rahsia hati adalah mengenal. Nur sifat Allah s.w.t itulah yang menerangi hati untuk menyaksikan kepada Tuhannya. Hati orang arifbillah yang diterangi oleh nur sifat Allah s.w.t tidak lagi dikelirukan oleh cahaya athar dan benda-benda yang dipamerkan. Mata hati menyaksikan Rububiyah pada segala perkara. Zahirnya sibuk dengan makhluk, hatinya menyaksikan Rububiyah dan Sirnya (rahsia hati) tidak berpisah daripada Allah s.w.t walau sedetik pun.
Sir yang menerima sinaran Nur Sifatullah membawa sifat-sifat yang menceritakan tentang Sifat Allah s.w.t yang menyinarinya. Manusia pilihan yang diheret oleh Sir tersebut akan memakai sifat-sifat yang menceritakan hubungannya dengan Allah s.w.t. Nabi Muhammad s.a.w dikenali sebagai Habiballah; Nabi Isa a.s sebagai Roh Allah; Nabi Musa a.s sebagai Kalim Allah; Nabi Ibrahim a.s sebagai Khalil Allah. Manusia yang bukan nabi juga menerima pimpinan Sir yang menerima sinaran Nur Sifatullah dan dengan yang demikian mereka dikenali. Abu Bakar dikenali sebagai as-Siddik dan Hamzah sebagai Singa Allah. Manusia lain pula ada yang dikenali sebagai Abdul Malik, Abdul Wahab, Abdul Karim, Abdul Latif dan lain-lain. Hamba-hamba pilihan itu mendapat gelaran yang dihubungkan dengan Allah s.w.t kerana Sir mereka disinari oleh Nur Sifatullah, sebagai persediaan buat mereka menanggung amanah Allah s.w.t. Firman-N ya:
Dan (ingatkanlah peristiwa) hamba-hamba Kami: Nabi Ibrahim dan Nabi Ishaq serta Nabi Ya’aqub, yang mempunyai kekuatan (melaksanakan taat setianya) dan pandangan yang mendalam (memahami agamanya). Sesungguhnya Kami telah jadikan mereka suci bersih dengan sebab satu sifat mereka yang murni, iaitu sifat sentiasa memperingati negeri akhirat. Dan sesungguhnya mereka di sisi Kami adalah orang-orang pilihan yang sebaik-baiknya. Dan (ingatkanlah peristiwa) Nabi Ismail dan Nabi Alyasa’, serta Nabi Zulkifli; dan mereka masing-masing adalah dari orang-orang yang sebaik-baiknya. ( Ayat 45 – 48 : Surah Saad )
Allah s.w.t mempersucikan hamba-hamba pilihan-Nya dengan menyinari Sir mereka dengan nur sifat-Nya dan dengan itu mereka menjadi sebaik-baik hamba yang menjalankan perintah Allah s.w.t.
Sifat Kewalian Ditutup Dari Pandangan Umum
MAHA SUCI ALLAH YANG MENUTUPI RAHSIA KEISTIMEWAAN (PARA WALI) DENGAN DIPERLIHATKAN SIFAT KEMANUSIAAN BIASA KEPADA ORANG RAMAI DAN TERNYATA KEBESARAN KETUHANAN ALLAH S.W.T DALAM MEMPERLIHATKAN SIFAT KEHAMBAAN (PADA PARA WALI-NYA).
Orang yang jahil dan lemah imannya mudah terlintas sangkaan apabila berhadapan kejadian yang luar biasa yang terzahir daripada seseorang manusia. Nabi Ia a.s dilahirkan secara luar biasa, dan padanya terzahir mukjizat yang luar biasa, menyebabkan segolongan manusia menganggap beliau a.s sebagai anak Tuhan. Uzair yang ditidurkan oleh Allah s.w.t selama seratus tahun dan dijagakan di kalangan generasi yang sudah melupai Kitab Taurat, lalu Uzair membacakan isi Kitab Taurat dengan lancar. Orang ramai pun menganggap Uzair sebagai luar biasa, lalu mengangkatnya sebagai anak Tuhan.
Orang ramai sering mengagungkan manusia yang memiliki kebolehan yang luar biasa. Kadang-kadang cara pengagungan itu sangat keterlaluan sehingga orang yang diagungkan itu didudukkan pada taraf yang melebihi taraf manusia. Selain dianggap sebagai anak Tuhan, ada juga yang dianggap sebagai penjelmaan Tuhan. Timbul juga penabalan sebagai Imam Mahadi yang dijanjikan Tuhan.
Kesan pemujaan sesama manusia banyak terdapat pada lembaran sejarah. Pemujaan yang demikian disifatkan Allah s.w.t sebagai mempertuhankan makhluk. Perkara ini berlaku kerana salah mentafsirkan kejadian luar biasa yang terzahir pada orang berkenaan, walaupun mereka tidak meminta diagungkan.
Perkara luar biasa yang terjadi pada nabi-nabi dinamakan mukjizat dan yang terjadi pada wali-wali dinamakan keramat. Mukjizat menjadi sebahagian daripada bukti atau hujah kepada orang ramai tentang kebenaran kenabian. Fungsi utama mukjizat adalah memperkuatkan keyakinan orang ramai kepada seseorang nabi itu. Sesuai dengan fungsinya mukjizat berlaku secara terbuka dan diketahui umum. Keramat pula merupakan kurniaan khusus kepada para wali. Tujuan utamanya adalah untuk menambahkan keyakinan wali itu sendiri. Ia bukan bertujuan untuk membuktikan kedudukan wali itu kepada orang ramai.
Kekeramatan banyak berlaku pada zaman akhir ini, jarang berlaku pada zaman Rasulullah s.a.w dan para sahabat, sedangkan para sahabat baginda s.a.w adalah aulia Allah yang agung. Sebahagian daripada mereka telah pun diistiharkan sebagai ahli syurga ketika mereka masih hidup lagi. Mereka sudah memiliki iman yang sangat teguh, tidak perlu kepada kekeramatan untuk menguatkannya. Jaminan syurga yang diberikan oleh Rasulullah s.a.w tidak membuat mereka mengurangkan khidmat bakti mereka kepada Allah s.w.t. Umat yang akhir ini tidak memiliki hati sebagaimana umat pada zaman Rasulullah s.a.w. Umat zaman akhir ini memerlukan kekeramatan sebagai penawar yang menguatkan hati mereka. Oleh sebab kekeramatan itu lebih berguna untuk diri sendiri, maka ia lebih banyak berlaku secara tersembunyi, hanya sebilangan kecil yang menyaksikannya atau kadang-kadang tidak ada yang melihatnya. Sifat kewalian dizahirkan kepada wali Allah itu sendiri sedangkan kepada orang ramai dizahirkan sifat manusia biasa, hinggakan orang ramai tidak mengetahui kedudukannya yang sebenar. Dengan demikian seseorang wali Allah itu diberi layanan sebagai manusia biasa. Dia perlu hidup dan menguruskan kehidupan seperti orang ramai. Perilakunya yang memakai sifat kemanusiaan biasa menjadi contoh kepada orang ramai, bagaimana mahu menjalani kehidupan di dunia dengan mentaati Allah s.w.t. Rasulullah s.a.w menjalani kehidupan sebagai manusia biasa di mana baginda s.a.w terpaksa mengikat perut dengan kain bagi menahan lapar, padahal dengan hanya berdoa kepada Allah s.w.t baginda s.a.w boleh menjadi kenyang tanpa makan. Para nabi dan para wali adalah manusia yang menjadi model untuk diikuti oleh orang ramai. Jika mereka hidup secara istimewa seperti bergerak secepat kilat dan kenyang tanpa makan, sudah tentu tidak ada manusia yang dapat mengikut mereka. Oleh itu apabila Allah s.w.t memakaikan sifat kehambaan seperti orang ramai kepada para nabi dan para wali-Nya itu adalah bagi kebaikan manusia umum. Orang ramai boleh mengikut contoh yang mudah dan tidak timbul pemujaan sesama manusia yang boleh membawa kepada syirik.
Dzahir Bersyariat Dan Batin Beriman
APABILA KAMU PADA ZAHIRNYA DIHIASKAN DENGAN TAAT KEPADA PERINTAH-NYA DAN DIKURNIAKAN PADA BATIN KAMU MENYERAH BULAT KEPADA ALLAH S.W.T, YANG DEMIKIAN ADALAH SEBESAR-BESAR NIKMAT BUAT KAMU.
Hamba Allah yang sejati adalah yang menggunakan segala daya dan upayanya untuk mentaati Allah s.w.t, menurut segala perintah-Nya tanpa hujah, tanpa tangguh, tanpa ragu-ragu dan pada masa yang sama hatinya yakin sungguh-sungguh kepada ketuhanan Allah s.w.t yang memelihara, menjaga, melindungi, menguruskan segala sesuatu dengan cara yang paling baik. Mentaati perintah Allah s.w.t dengan memelihara sempadan syariat dinamakan takwa, dan keyakinan hati terhadap ketuhanan Allah s.w.t yang memelihara serta mengatur, dinamakan iman. Gandingan iman dan takwa melahirkan sifat ubudiyah yang sejati. Beriman tanpa bertakwa atau beramal adalah kejahilan. Beramal tanpa beriman adalah munafik. Iman dan takwa merupakan dua belah sayap yang saling bantu membantu agar insan dapat terbang menuju Tuhan. Jika hanya satu sayap sahaja yang ada seseorang itu hanya berpusing-pusing di bumi. Walaupun jauh jarak yang telah dipusingnya namun, dia tetap berada di bumi, tidak terbang ke alam tinggi.
Seseorang yang menggabungkan iman dan takwa adalah orang yang bersesuaian zahirnya dengan batinnya atau harmoni kedudukan syariat dan hakikatnya. Amalan zahirnya sesuai dengan tuntutan syarak dan batinnya menghadap kepada Allah s.w.t. Orang yang bersesuaian iman dan takwanya, zahir dan batinnya, syariat dan hakikatnya, jasmani dan rohaninya, sebenarnya mendapat sebesar-besar nikmat daripada Allah s.w.t. Dia terlepas daripada sifat munafik. Dia berada pada tarekat (jalan) yang benar.
Apabila seseorang menganut agama Islam dia dinamakan muslim. Muslim menerima syariat Islam sebagai cara hidupnya. Dia memahami dan mengakui akan kebaikan dan kebenaran peraturan yang ditetapkan oleh syariat Islam. Kemudian dia beriman dengan sesungguhnya kepada Allah s.w.t. Kedudukannya naik daripada muslim kepada Mukmin. Mukmin mempunyai keyakinan yang teguh terhadap Allah s.w.t dan dia tidak ragu-ragu untuk menyerahkan seluruh kehidupannya kepada Tuhan. Dia yakin Allah s.w.t sahaja yang mengatur kehidupannya. Orang Mukmin mematuhi syariat bukan kerana kebaikan dan kebenaran syariat itu semata-mata, tetapi adalah kerana Allah s.w.t. Dia melihat syariat sebagai peraturan Allah s.w.t dan sebagai hamba dia wajib akur kepada peraturan tersebut. Ketaatan kepada syariat yang didorong oleh iman yang teguh membentuk sifat takwa. Orang yang bertakwa naik dari tahap Mukmin kepada tahap muttaqin. Makam muttaqin adalah makam keteguhan beramal dengan syariat Islam dan ketetapan hati bersandar kepada Allah s.w.t. Keteguhan dan ketetapan hati dalam makam muttaqin menjadi tangga untuk mencapai makam muqarrabin iaitu orang yang hampir dengan Allah s.w.t. Orang yang paling hampir dengan Tuhan adalah orang yang paling bertakwa iaitu orang yang paling teguh kedudukannya pada makam muttaqin. Makam muttaqin bukan sahaja menjadi tangga untuk mencapai makam muqarrabin bahkan ia juga menjadi tapak untuk naik kepada makam ariffin. Sepanjang perjalanan dari makam Muslim kepada makam ariffin, iman dan amal menjadi kenderaan. Perpindahan dari satu makam kepada makam yang lain memperlihatkan keteguhan dan ketetapan amal dan iman.
Sekiranya Allah s.w.t berkehendak mengurniakan kepada hamba-Nya kedudukan yang baik pada sisi-Nya maka hamba tersebut dikurniakan keteguhan dalam melakukan ketaatan kepada-Nya dan diperkuatkan imannya. Hamba yang memperolehi kurniaan begini menjadi hamba yang gemar beribadat, beramal salih dan kuat pula bertawakal kepada Allah s.w.t. Inilah hamba Allah s.w.t yang berjaya.
Pelihara Wirit Selama Ada Hayat
TIDAK MENGABAIKAN WIRID KECUALI ORANG BODOH. WARID (KURNIAAN ALLAH S.W.T) BERTERUSAN HINGGA KE AKHIRAT DAN WIRID BERAKHIR DENGAN BERAKHIRNYA DUNIA. DAN YANG PALING BAIK DIPERHATIKAN IALAH YANG TIDAK LENYAP. WIRID ITU SEBAGAI TUNTUTAN ALLAH S.W.T KEPADA KAMU SEMENTARA WARID ITU ADALAH HAJAT KAMU KEPADA ALLAH S.W.T. MAKA DI MANAKAH BANDINGAN ANTARA TUNTUTAN ALLAH KEPADA KAMU DENGAN PENGHARAPAN KAMU KEPADA TUHAN KAMU.
Wirid atau aurad adalah amal ibadat yang dilakukan secara tetap terus menerus dari hari ke hari. Ibadat yang wajib menjadi wirid yang dipertanggungjawabkan kepada semua orang Islam. Sembahyang lima waktu sehari semalam adalah wirid yang paling ringkas dan wajib diamalkan. Bila iman seseorang bertambah maka bertambah juga wiridnya. Sembahyang sunat, puasa sunat, membaca al-Quran dan berzikir ditambahkan kepada wirid yang wajib. Apabila seseorang mencapai peringkat iman yang sempurna keseluruhan kehidupannya selama dua puluh empat jam sehari semalam merupakan wirid. Wirid dalam aspek ini adalah Sunah Rasulullah s.a.w. Rasulullah s.a.w telah menunjukkan cara menjalani tempuh dua puluh empat jam itu, bermula dari membuka mata bila jaga dari tidur, baginda s.a.w telah membentuk satu format kehidupan yang merangkumi segala jenis aktiviti. Format itulah yang diamalkan oleh Rasulullah s.a.w dari hari ke hari sehinggalah Rasulullah s.a.w wafat. Diketahui dengan jelas oleh umat baginda s.a.w apakah doa yang baginda s.a.w baca pada sesuatu aktiviti, apakah sembahyang sunat yang baginda s.a.w kerjakan setiap hari, apakah zikir yang baginda s.a.w sering ucapkan dan amalan-amalan lain yang dipelopori oleh baginda s.a.w. Amalan tersebut adalah wirid yang paling sempurna.
Jarang sekali orang dapat mendekati wirid yang paling sempurna. Sebahagian besarnya mengambil wirid yang khusus untuk diamalkan bagi satu jangka masa yang tertentu. Bila mereka merasakan telah mencapai tahap yang boleh dibawa oleh wirid berkenaan, mereka pun tidak berwirid lagi. Biasanya perkara ini terjadi kepada orang yang mengadakan sukatan atau had bagi sesuatu amal itu. Ditentukan puasa sunat selama empat puluh hari berturut-turut dan membaca sesuatu jenis zikir sekian ribu kali. Bila had telah dicapai mereka merasakan kedudukan yang menjadi tujuan juga tercapai. Oleh itu mereka tidak perlu menyambung wirid yang telah diamalkan. Beginilah cara orang jahil beramal. Mereka tidak memahami bahawa wirid bukanlah jaminan untuk mendapatkan kedudukan. Tujuan wirid adalah untuk memperteguhkan ubudiyah (kehambaan). ‘Adam yang telah menerima nikmat penciptaan dan diperakukan sebagai satu kewujudan individu sebagai hamba Tuhan, berkewajipan memperhambakan diri kepada Pencipta, Tuhan sekalian alam. Wirid adalah kenyataan kepada kehambaan tersebut. Selama seseorang itu masih berada di dunia ini dia diwajibkan melakukan kewajipan sebagai hamba. Semakin hampir seseorang dengan Allah s.w.t semakin berat tanggungjawab, amanat dan sopan santun yang harus ditunaikan. Peningkatan makam mestilah sejalan dengan peningkatan ubudiyah, bukan sebaliknya. Apabila seseorang hamba itu meningkat darjatnya, bertambah teguhlah dia berpegang kepada wirid. Orang yang melepaskan wirid adalah orang yang semakin jauh daripada Allah s.w.t namun, disangkanya semakin dekat.
Allah s.w.t tidak putus-putus memberikan kurnia-Nya kepada hamba-hamba-Nya. Ada kurniaan lahiriah dan ada yang batiniah. Ada sejenis kurniaan batiniah yang dikurniakan kepada segolongan daripada hamba-hamba-Nya. Ia adalah kurniaan yang menghubungkan hamba dengan Tuhan, kurniaan pengalaman hakikat yang menyampaikan kepada makrifatullah. Kurniaan seperti ini dinamakan warid. Nur Ilahi menerangi hati para hamba-Nya dan membakar penjara ‘adam yang memerangkap keaslian rohani. Ikatan dan kongkongan alam benda terhapus maka bebaslah diri yang asli kembali kepada asalnya dan masuk ke Hadrat-Nya, kemudian memperolehi baqa bersama-Nya. Dalam kebaqaan wiridnya ialah Sunah Rasulullah s.a.w. Pergantungan hati kepada Allah s.w.t menjadi tarekatnya. Menyaksikan ketuhanan yang menguasai sekalian yang maujud menjadi suasana hatinya dan suasana begini dinamakan hati berhakikat. Hasil yang diperolehinya dinamakan makrifat. Apabila dia mengalami kematian putuslah syariat darinya, tiada lagi wirid yang perlu diamalkannya. Tetapi, kurniaan Allah s.w.t (warid) tidak putus. Nur Ilahi menerangi alam kuburnya. Nur Ilahi memimpinnya menuju panji Rasulullah s.a.w di Padang Mahsyar. Nur Ilahi menyelamatkannya ketika hisab. Nur Ilahi menetapkan kakinya ketika melintasi Siratalmustaqim. Nur Ilahi menunjukkan jalan ke syurga. Nur Ilahi memasukkannya ke dalam syurga. Nur Ilahi menemaninya di dalam syurga. Badan ahli syurga yang diselimuti oleh Nur Ilahi sangat bercahaya, sehingga jin tidak dapat melihat mereka di akhirat sebagaimana manusia tidak dapat melihat jin di dunia. Kekuatan cahaya Nur Ilahi yang beserta ahli syurga boleh memadamkan api neraka. Kekuatan Nur Ilahi yang tidak terbatas itulah yang memberi kemampuan kepada mereka untuk melihat Wajah Allah s.w.t tanpa hijab. Inilah kemuncak segala warid!
Warid dan Nur Ilahi
KURNIAAN ALLAH S.W.T BERSESUAIAN DENGAN PERSIAPAN UNTUK MENERIMANYA TETAPI PANCARAN NUR ILAHI BERSESUAIAN DENGAN SIFAT RAHSIA HATI (SIR).
Wirid berfungsi mempersiapkan seseorang agar berada dalam keadaan sesuai dan mampu menerima dan menanggung kedatangan kurniaan Allah s.w.t. Kadang-kadang kurniaan Allah s.w.t datang kepada seseorang hamba tetapi kurniaan itu tidak menetap, kerana orang itu tidak mampu menanggungnya. Diri seseorang adalah umpama bekas yang boleh diisi dengan apa yang boleh diterimanya. Oleh yang demikian seseorang itu haruslah melengkapkan dan memperkuatkan dirinya supaya sesuatu kurniaan Allah s.w.t yang datang kepadanya tidak mengalir keluar atau dia tidak berdaya menanggungnya. Kurniaan Allah s.w.t yang berupa kebaikan tidak semestinya boleh ditanggung oleh semua orang.
Perkara yang sama juga boleh berlaku kepada kurniaan duniawi. Ada orang yang menemui kebinasaan kerana mereka menerima kekayaan dan kekuasaan ketika mereka tidak bersedia menerimanya. Dalam bidang kerohanian pula ada orang yang hilang kewarasannya apabila dibukakan tabir ghaib. Mereka tidak mampu bertahan menerima gangguan makhluk halus. Jalan yang selamat bagi seseorang adalah mempersiapkan dirinya agar dia selamat daripada tarikan tipu daya dalam alam rohani yang dia tidak mengerti. Amal ibadat atau wirid hendaklah dilakukan semata-mata kerana Allah s.w.t. Jangan dicari kekeramatan dan khadam. Orang yang menyelitkan hajat kepada sesuatu selain Allah s.w.t, mudah terjerumus ke dalam kebinasaan. Apa sahaja yang dihajati mempunyai tarikan kepada hati. Semakin besar hajat semakin kuat tarikannya. Hajat itu menjadi hijab menutup hati. Ini membuatnya tidak mengenali makhluk rohani yang datang kepadanya dengan rupa yang elok-elok. Jika kedatangan makhluk rohani tersebut berbetulan ketika dia mendapat sesuatu kelebihan, maka akan timbullah pergantungannya kepada makhluk rohani tersebut. Bertambahlah kesukarannya untuk mendapatkan tauhid yang sejati.
Seseorang yang mahu sampai kepada Allah s.w.t disyaratkan melalui jalan yang menghancur leburkan hawa nafsu, kehendak dan tujuan kepada segala-galanya selain Allah s.w.t. Hanya Allah s.w.t maksud dan tujuan. Hanya keredaan-Nya yang dicari. Jalan ini penuh dengan perjuangan atau mujahadah, memutuskan rantai-rantai duniawi dan nafsu, menyingkap tabir asbab, mengenderai tajrid, berserah bulat kepada Allah s.w.t dengan membuang ikhtiar memilih dan reda dengan apa sahaja lakuan Allah s.w.t kepada dirinya.
Diri atau an-nafs mesti disuci-bersihkan agar ia terlepas daripada pengaruh ‘adam dan masuk ke dalam suasana Sir (rahsia hati) Bertambah murni an-nafs bertambah menyerlah sirnya. Sir menerima pancaran Nur Ilahi. Sir yang menerima pancaran Nur Ilahi akan menerangi an-nafs (nafsu natiqah) dan seterusnya menerangi kalbu (hati). Terang atau malap sinaran Nur Ilahi yang diterima oleh hati bergantung kepada sifat Sir atau Rahsia hatinya. Sir yang kuat akan memancarkan cahaya yang kuat dan hati menjadi sangat terang. Apabila hati menjadi terang benderang oleh sinaran Nur Ilahi, ia tidak dapat lagi diperdayakan. Cahaya Nur Ilahi melahirkan apa yang asli. Rupa, bentuk dan warna tidak dapat menyembunyikan keaslian sesuatu. Hati akan mengenali syaitan walaupun ia datang dalam rupa yang cantik. Hati akan mengenali malaikat walaupun ia datang tanpa rupa. Pengenalan sebenar hanya diperolehi dengan bantuan Nur Ilahi. Tanpa Nur Ilahi tidak mungkin mencapai makrifat.
Nur Ilahi tidak menyampaikan cahayanya jika Sir dibungkus oleh kekotoran nafsu. Nafsu hendaklah dimurnikan agar ia kembali kepada keasliannya yang dipanggil nafsu muthmainnah, baharulah diperolehi ketenteraman yang sejati bila nur makrifat menyelimutinya. Insan yang sampai kepada peringkat ini berjalan dengan petunjuk dan tarikan Nur Ilahi. Dia tidak lagi bersandar kepada amalnya, ilmunya, malaikat dan makhluk rohani. Sinaran kesucian Sir yang membimbingnya, dan menjadikannya insan berpangkat hamba Tuhan.
Nur Ilahi tidak menyampaikan cahayanya jika Sir dibungkus oleh kekotoran nafsu. Nafsu hendaklah dimurnikan agar ia kembali kepada keasliannya yang dipanggil nafsu muthmainnah, baharulah diperolehi ketenteraman yang sejati bila nur makrifat menyelimutinya. Insan yang sampai kepada peringkat ini berjalan dengan petunjuk dan tarikan Nur Ilahi. Dia tidak lagi bersandar kepada amalnya, ilmunya, malaikat dan makhluk rohani. Sinaran kesucian Sir yang membimbingnya, dan menjadikannya insan berpangkat hamba Tuhan.
Sikap Orang Lalai Dan Orang Berakal
ORANG LALAI (DARI PEGANGAN TAUHID), TATKALA DATANG WAKTU PAGI DIA MEMIKIRKAN APA YANG HARUS DIKERJAKANNYA. ORANG YANG BERAKAL (BERTAUHID) MENERIMA PEKERJAAN YANG DITAKDIRKAN ALLAH S.W.T UNTUKNYA.
Manusia berada dalam salah satu dari dua keadaan. Jika kuat satu keadaan lemahlah keadaan yang satu lagi. Dua keadaan itu adalah pertama perhatian kepada dirinya sendiri dan kedua adalah perhatian kepada Tuhannya. Jika dia asyik kepada dirinya lalailah dia kepada Tuhannya. Jika dia asyik kepada Tuhannya lalailah dia kepada dirinya. Orang yang lemah tauhidnya akan asyik kepada dirinya dan menjadi lalai daripada mengingati Tuhannya. Orang ini mungkin kuat mengerjakan amal ibadat dan berbuat kebaikan kepada sesama makhluk. Tetapi, keasyikan kepada diri sendiri membuatnya melihat amal dan perbuatan sebagai hasil yang keluar dari dirinya kerana dirinya dan kembali kepada dirinya. Jika dia melihat Tuhan maka dilihatnya Tuhan memberinya kebebasan untuk melakukan apa yang dia kehendaki. Dirasakan seolah-olah Tuhan tidak mengganggu pekerjaannya. Dia berpegang kepada kenyataan bahawa Tuhan tidak mengubah nasib sesuatu kaum sebelum kaum itu mengubah nasibnya. Oleh itu, nasib dirinya terletak dalam tangannya sendiri. Dan, Tuhan memberinya nasib menurut usaha yang disumbangkannya. Bagi menjamin dia mendapat nasib yang baik maka dia membuat perancangan yang rapi dan mengambil tindakan yang berkesan. Dia memulakan harinya dengan menyusun jadual yang wajib ditaatinya untuk hari itu. Untung malang nasibnya bergantung kepada kemampuannya untuk merialisasikan apa yang dirancangkannya.
Manusia yang berpegang kepada prinsip demikian adalah benar menurut aspek dirinya tetapi adalah orang yang lalai menurut aspek ketuhanan yang menguasai dirinya. Pengagungan kekuatan diri sendiri akan memperkecilkan kekuatan Maharaja yang memerintah sekalian alam maya ini. Prinsip yang demikian menambahkan ego dirinya dan menjauhkannya dari merendahkan diri kepada Tuhannya, walaupun banyak ibadat dan perbuatan baik yang dikerjakannya. Amal yang banyak menyebabkannya menjadi ujub, riak dan sama’ah. Amal yang demikian tatkala dibawa ke neraca hisab di akhirat kelak ia akan berterbangan seperti debu. Ia tidak dapat menolong tuannya kerana orang itu menjadikan dirinya sebagai tapak untuk meletakkan amalnya. Di Padang Mahsyar dirinya sendiri tidak berdaya berdiri di hadapan Hakim Yang Maha Perkasa. Bila dia rebah, rebah jugalah amalnya.
Sekiranya kita mahu amal dapat berdiri tegak binalah ia di atas tapak tauhid. Pandangan tauhid melihat apa yang dari Allah s.w.t, berdiri dengan Allah s.w.t dan kembali kepada Allah s.w.t. Allah s.w.t yang memiliki dan menguasai sekalian alam serta isi dan kejadian yang berlaku di dalamnya. Tidak bergerak walau sebesar zarah melainkan dengan izin-Nya. Tidak terjadi sesuatu perkara melainkan dengan Kudrat dan Iradat-Nya. Allah s.w.t telah menentukan Qadak sebelum Dia menzahirkan Qadar. Setiap yang berlaku adalah menurut ketentuan-Nya. Orang yang berpegang pada prinsip ini menyambut kedatangan pagi dengan persiapan untuk menerima ketibaan takdir Ilahi. Dia tahu bahawa apa yang Allah s.w.t takdirkan untuknya hari itu pasti sampai kepadanya. Tidak ada sesiapa yang boleh mengubahnya. Bergeraklah dia dengan sepenuh tenaga mendukung takdir yang diamanatkan kepadanya. Jangan menganggap orang yang bepegang kepada prinsip tauhid sebagai orang yang pasif, hanya berpeluk tubuh. Dia tetap aktif dengan berbagai-bagai aktiviti, melebihi orang yang berpegang kepada prinsip yang pertama. Perbezaan antara keduanya adalah daya rasa dan daya nilai. Pekerjaan dan perbuatan adalah serupa. Orang yang pertama merasakan dialah yang melahirkan amal. Dia melihat dirinya yang melakukan amal. Orang kedua melihat dirinya adalah alat, dan Allah s.w.t adalah Pelaku yang menggunakan alat. Dia melihat dirinya dipilih oleh Allah s.w.t bagi menzahirkan sesuatu perbuatan. Oleh sebab perbuatan yang ditakdirkan untuknya itu menjadi amanat Allah s.w.t kepadanya maka dia melakukannya sebaik mungkin menurut kadar kemampuan yang Allah s.w.t kurniakan kepadanya dan dia mengharapkan perbuatan yang lahir dari dirinya itu diredai Allah s.w.t. Orang seperti ini tidak panik menerima kedatangan peristiwa besar secara mendadak kerana dia melihat bahawa peristiwa tersebut adalah takdir Allah s.w.t yang sedang berjalan dan dia berada di tengah jalan laluan takdir itu, lalu dia menerimanya dengan senang hati. Dia yakin bahawa Allah s.w.t yang mendatangkan takdir dalam bentuk peristiwa maka Dia juga yang melahirkan kesan dari peristiwa berkenaan.
Apabila seseorang itu berfungsi mengikut urutan takdir dia dapat menerima akibat daripada takdir itu walaupun akibat itu tidak menguntungkannya. Jika akibat yang baik sampai kepadanya dia yakin bahawa Allah s.w.t akan memeliharanya agar tidak terjadi sia-sia kebaikan yang diterimanya dan dia bersyukur. Jika akibat buruk yang sampai kepadanya dia yakin bahawa Allah s.w.t akan menguatkannya dengan kesabaran dan keredaan. Hati yang benar-benar bertauhid tidak dapat diganggu gugat oleh apa-apa pun.
Abid Dan Zahid Yang Belum Mencapai Keteguhan Hati
SESUNGGUHNYA YANG MEMBOLAK-BALIKKAN HATI AHLI IBADAT DAN AHLI ZUHUD KETIKA MENGHADAPI SESUATU ITU ADALAH KERANA MEREKA MASIH TIDAK TETAP MELIHAT ALLAH S.W.T PADA APA YANG MEREKA LIHAT, MAKA HATI MEREKA DIBOLAK-BALIKKAN OLEH SESUATU ITU.
Istilah yang biasa digunakan bagi menggambarkan sifat hati ialah istilah kalbu, yang bermaksud sesuatu yang berbalik-balik, berubah-ubah, tidak menetap. Seseorang yang menjalani jalan kerohanian akan memasuki daerah Latifah Kalbu. Dalam daerah ini dia menjadi terlalu sensitif dengan apa yang berlaku di sekelilingnya. Dia melihat keadaan orang ramai yang leka menurut kehendak hawa nafsu mereka. Dia melihat keadaan dunia yang kucar kacir. Dia melihat kerosakan yang berlaku akibat harta, perempuan, kekuasaan dan lain-lain. Dia melihat kesemua ini sebagai racun yang boleh melemahkan rohaninya. Oleh yang demikian dia memilih jalan yang memisahkannya daripada segala kekacauan tersebut. Dia mungkin memilih jalan ahli ibadat yang mendekatkan diri dengan Allah s.w.t dengan cara membenamkan dirinya ke dalam alam amal ibadat. Dia hanya berurusan dengan orang lain kerana sesuatu keperluan yang menyokong pekerjaan ibadatnya. Dia hanya mengambil bahagian dalam hal-ehwal dunia sekadar menguatkan tulang belakangnya untuk berdiri berbuat ibadat. Kebanyakan daripada masanya dihabiskan dengan memencilkan diri dan beribadat kepada Allah s.w.t. Jalan kedua yang mungkin diikuti oleh orang yang memasuki Latifah Kalbu itu adalah jalan ahli zuhud. Dia menjadi zahid yang membuang dunia dan segala isinya dari hatinya. Dia gemar tinggal sendirian di tempat yang tidak didiami oleh manusia lain. Dia mengambil langkah tidak beristeri, tidak berkeluarga dan tidak bermasyarakat. Dia hanya bertemankan Allah s.w.t di dalam khalwatnya.
Kecenderungan mengikut cara ahli ibadat dan ahli zuhud dialami oleh orang yang telah tumbuh rasa jemu kepada dunia dan kekeruhan yang berlaku di dalamnya. Cara demikian adalah baik baginya untuk memerangi hawa nafsu. Pergaulan dengan orang ramai menjadi sebab yang membolak-balikkan hatinya. Pengasingan diri dari kesibukan dunia dan membenamkan diri ke dalam kesibukan ibadat mempercepatkan proses penyucian hati. Suasana pengasingan itu penting baginya kerana dia masih dikuasai oleh kesedaran basyariah. Dia masih melihat makhluk sebagai memiliki pengaruh yang mendatangkan kesan atau akibat. Pandangan hatinya masih melekat kepada sebab-sebab, kerana itulah alat-alat yang menyampaikan sebab-sebab boleh mengganggu hatinya. Setelah makrifatnya bertambah, pandangan hatinya akan berubah. Dia tidak lagi melihat makhluk sebagai berkuasa mendatangkan kesan dan akibat. Dia melihat kekuasaan dan pentadbiran Ilahi yang berjalan sebagai sebab musabab. Sesuatu yang datang kepadanya tidak lagi menutup hakikat dari pandangan hatinya. Bila hatinya sudah mencapai peringkat ini hatinya tidak lagi dibolak-balikkan oleh sesuatu perkara atau kejadian. Pergaulan dengan orang ramai tidak lagi menjadi racun kepada hatinya.
Hikmah Pada Pemberian Dan Penolakan
ADAKALANYA KAMU MENERIMA PEMBERIAN YANG PADA HAKIKATNYA ADALAH PENOLAKAN DAN ADA KALANYA KAMU DITOLAK TETAPI PADA HAKIKATNYA KAMU DIBERI.
JIKA DIBUKA KEPADA KAMU PINTU KEFAHAMAN TENTANG PENOLAKAN NESCAYA BERUBAH PENOLAKAN MENJADI PEMBERIAN.
Sesuatu yang kuat menghalang perjalanan kerohanian seseorang murid adalah kehendak diri sendiri. Dia berkehendakkan sesuatu yang menurut hematnya akan membawa kebaikan kepada dirinya. Kehendak atau hajat keperluannya itu mungkin menyentuh tentang dunia, akhirat atau hubungan dengan Allah s.w.t. Jika hajatnya tercapai dia merasakan yang dia menerima kurniaan Allah s.w.t. Jika hajatnya tidak diperkenankan dia akan merasakan dia menerima penolakan Allah s.w.t dan dijauhkan. Orang yang berada pada peringkat ini selalu mengaitkan makbul permintaan atau doa dengan kemuliaan di sisi Allah s.w.t. Jika Allah s.w.t mengabulkan permintaannya dia merasakan itu adalah tanda dia hampir dengan-Nya. Jika permintaannya ditolak dia merasakan itu tandanya dia dijauhkan. Anggapan begini sebenarnya tidak tepat. Tidak semua penerimaan doa menunjukkan pendekatan dan tidak semua penolakan menunjukkan dijauhkan. Bagi orang yang masih dalam perjalanan dia tidak seharusnya membesarkan hajat keperluannya. Dia perlu menghancurkan nafsu dan keinginan dirinya supaya dia dapat masuk ke dalam suasana berserah diri kepada Allah s.w.t. Kehendak dan hajat menghalangnya dari berserah diri kepada Allah s.w.t. Pemberian yang sesuai dengan hajat dan permintaannya menambahkan kekuatan halangan tersebut. Keadaan ini menambahkan lagi hijab antaranya dengan Allah s.w.t. Dalam segi ini, pemberian yang diterimanya walaupun mempunyai manfaat tetapi sebenarnya merupakan kerugian kerana tertutup jalan menuju Allah s.w.t. Jadi, pemberian itu merupakan penolakan yang tidak disedarinya.
Orang yang hajatnya ditolak akan mengalami keadaan yang berbeza daripada orang yang hajatnya dimakbulkan. Orang yang mempunyai keinginan terhadap sesuatu mempunyai hubungan hati dengan apa yang diingini itu. Hatinya cenderung atau kasih kepadanya. Jika keinginannya sangat kuat dan tidak dapat dikawalnya, dia akan sanggup berkorban apa sahaja untuk mendapatkan apa yang diingininya itu. Jika dia bermohon kepada Tuhan maka dia akan meminta dengan bersungguh-sungguh. Harapannya bulat tertuju kepada Allah s.w.t. Sekiranya dia mampu tentu dipaksanya Allah s.w.t agar memberi apa yang dia hajati itu. Apa akan terjadi sekiranya Allah s.w.t menolak permintaannya dan membiarkan harapannya itu musnah? Dia akan menghadapi perpisahan dengan apa yang dia ingini itu. Pada mulanya dia akan merasakan beban yang sangat berat menghimpit jiwanya, tetapi kemudiannya dia mendapat tenaga untuk bertahan. Dia dapat bersabar menghadapi penolakan tersebut. Akhirnya dia berputus asa terhadap apa yang pernah diingininya. Dia menjadi reda dengan penolakan yang diterimanya. Bila dia reda dengan lakuan Allah s.w.t, dia akan dibawa kepada keredaan Allah s.w.t. Semua orang mahukan keredaan Allah s.w.t, tetapi sedikit sekali yang reda dengan Allah s.w.t. Bagaimana kita boleh memperolehi keredaan-Nya jika kita tidak reda dengan lakuan-Nya? Hamba yang menerima penolakan Allah s.w.t, kemudian dibawa kepada reda dengan lakuan-Nya, dibayar dengan keredaan-Nya. Bukankah ini jauh lebih baik dari apa yang dia inginkan dahulu? Jadi, penolakan yang pada mulanya dirasakan pahit sebenarnya merupakan kurniaan yang sangat besar.
Seseorang yang telah mencapai darjat yang tinggi dalam bidang kerohanian akan selalu ditolak permintaannya, sehingga dia benar-benar memperolehi keteguhan. Penolakan itu adalah sebagai mendidik rohaninya agar terus tegak dalam ubudiyah yang kuat, tidak menjadi terlalu yakin dengan diri sendiri yang boleh menyebabkan kurang pergantungan kepada Allah s.w.t. Penolakan membuatnya mengerti betapa lemahnya dirinya dan betapa dia berhajat kepada Allah s.w.t. Allah s.w.t memperkenalkan bahawa Dia yang terkaya dari sekalian makhluk dan sekalian makhluk tidak lepas dari bergantung kepada-Nya.
Hamba yang dibuka pintu pemahaman tentang penolakan tidak berasa cemas atau curiga menghadapi penolakan tersebut. Sebaliknya dia akan terus berserah diri kepada Allah s.w.t dan membuang tuntutan memilih. Dia tahu bahawa keinginan yang datang ke dalam hatinya adalah ujian Allah s.w.t. Jika Allah s.w.t tidak memenuhi hajatnya, dia tahu Allah s.w.t menambahkan beban ujian tersebut. Allah s.w.t yang mendatangkan ujian maka Dia jua yang mendatangkan kesabaran kepada hamba-Nya untuk menanggung beban ujian tersebut. Allah s.w.t yang menolak permintaan hamba-Nya Dia juga yang menjadikan si hamba itu reda dengan penolakan tersebut. Penolakan mendatangkan dua nikmat kepada seseorang hamba iaitu nikmat sabar dan reda. Kedua-dua nikmat ini jauh lebih berharga dan berguna dari apa yang diingini oleh hatinya. Sabar dan reda menjadi pintu kepada berbagai-bagai nikmat yang lain yang besar-besar, sehingga si hamba tidak terkilan langsung lantaran menerima penolakan pada mulanya.
Pemberian Dan Penolakan Memperkenalkan Allah SWT
APABILA DIKURNIAKAN KEPADA KAMU BERMAKNA DIPERLIHATKAN KEPADA KAMU KEMURAHAN-NYA. APABILA DITAHAN PEMBERIAN BERMAKNA DIPERLIHATKAN KEPADA KAMU KEKUASAAN-NYA. MAKA DIA PADA SEGALA PERKARA MEMPERKENALKAN DIRI-NYA KEPADA KAMU DAN MENGHADAPKAN KEPADA WUJUD (KELEMBUTAN)-NYA.
SESUNGGUHNYA TERASA PEDIH PENOLAKAN ALLAH S.W.T ADALAH KERANA KAMU TIDAK MENGERTI TENTANG ALLAH S.W.T DALAM PENOLAKAN TERSEBUT.
Setiap kejadian Allah s.w.t ada pasangan atau lawannya. Kanan berpasangan dengan kiri. Putih berpasangan dengan hitam. Gagah berpasangan dengan lemah. Senang berpasangan dengan susah. Pemberian berpasangan dengan penolakan. Semuanya ada penjodohan. Tetapi, Allah s.w.t tidak ada penjodohan. Dia hanya Satu, Maha Esa, tidak beranak dan tidak diperanakkan. Tidak ada sesuatu yang setara dengan-Nya.
Allah s.w.t menciptakan makhluk-Nya berpasang-pasangan. Pada makhluk-Nya yang berpasangan dan berlawanan itu ada kenyataan tentang kekuasaan dan kebijaksanaan-Nya yang tidak ada tandingan. Dia esa dalam segala segi. Esa pada sifat-Nya dan esa pada Zat-Nya. Esa pada nama-Nya dan perbuatan-Nya. Dia memperkenalkan keesaan Zat-Nya melalui sifat-Nya dan memperkenalkan sifat-Nya melalui perbuatan-Nya. Alam semesta dengan segala isinya dan kejadian yang berlaku di dalamnya adalah manifestasi perbuatan-Nya. Tuhan adalah Maha Baik, sebab itu perbuatan-Nya juga adalah baik. Tidak ada perbuatan-Nya yang tidak baik. Tidak ada kejahatan pada sisi Allah s.w.t. Tidak ada kejahatan yang dinisbahkan kepada Allah s.w.t. Adanya yang tidak baik dan kejahatan hanyalah apabila ada perkaitan sesuatu perkara dengan manusia.
Baik dan buruk adalah dua nilai yang diletakkan pada manusia. Segala perkara datang kepada manusia melalui salah satu daripada dua pintu iaitu pintu positif dan pintu negatif. Perkara yang dinilaikan sebagai baik datangnya dari pintu positif dan yang dinilaikan sebagai tidak baik datangnya dari pintu negatif. Jika seseorang mengambil sikap menerima sahaja apa yang datang maka dia akan melihat unsur-unsur positif dan negatif yang berlawanan. Andainya dia menjenguk ke dalam kedua-dua pintu tersebut nescaya dia akan melihat bahawa pintu-pintu itu terbuka kepada satu ruang yang sama. Sebelum keluar melalui pintu-pintu yang berasingan semuanya berkumpul dalam ruang yang sama secara harmoni, tiada perlawanan.
Jika kita renungi dengan mendalam kita akan dapati bahawa perlawanan dan pertentangan diwujudkan oleh hati kita. Hati yang membuat tafsiran dan penilaian. Hati yang mengalami kemanisan dan kepahitan. Hatilah tempat jatuh tilikan Tuhan dan tempat dituangkan ilham. Hatilah yang mampu mengenal Tuhan. Hatilah yang berhubungan dengan Tuhan. Pintu-pintu positif dan negatif adalah jambatan yang menghubungkan hati dengan Tuhan. Melalui kedua-dua pintu tersebut hati mengenali-Nya.
Sesuatu kualiti dikenali kerana ada kualiti lain yang bertentangan dengannya. Manis dikenali kerana ada tawar, begitu juga sebaliknya. Cantik dikenali kerana ada hodoh, begitu juga sebaliknya. Pemberian dikenali kerana ada penolakan, begitu juga sebaliknya. Dua perkara yang bertentangan masing-masing memperkenalkan yang berlawanan dengannya. Kedua-duanya pula memperkenalkan faktor yang mengwujudkan dua perkara tersebut. Pemberian dan penolakan memperkenalkan yang menguasai kedua-duanya. Hamba yang mengenali pemberian Allah s.w.t akan mengenali penolakan-Nya. Hamba yang mengenali penolakan-Nya akan mengenali pemberian-Nya. Kepedihan pada penolakan membuat si hamba tahu bersyukur pada pemberian-Nya, mengenal kebaikan dan kemurahan-Nya. Kesenangan pada pemberian-Nya membuat si hamba mengenali kekuasaan-Nya pada penolakan-Nya. Pengenalan kepada kedua-duanya membuat si hamba mengenal Tuhan yang menguasai kedua-duanya itu. Si hamba tidak menjadi keliru tatkala menerima pemberian atau penolakan dari Tuhan yang satu. Walau dari pintu mana pun sesuatu itu datang kepadanya, dia tetap menerimanya dari Tuhannya, dan yang datang itu menceritakan sesuatu tentang Tuhan. Pertukaran di antara pemberian dan penolakan melahirkan rasa kemesraan hubungannya dengan Tuhan kerana dia melihat sifat-Nya yang Lemah-lembut dalam menguruskan hamba-Nya. Bila hamba-Nya lalai dengan pemberian-Nya disedarkan-Nya dengan penolakan-Nya. Bila hamba-Nya hampir binasa kerana penolakan-Nya diselamatkan-Nya dengan pemberian-Nya. Dia sangat tahu menguruskan hal-ehwal hamba-Nya.
Tidakkah Allah yang menciptakan sekalian makhluk itu mengetahui (segala-galanya)? Sedangkan Ia Maha Halus urusan Tadbiran-Nya, lagi Maha Mendalam Pengetahuan-Nya! (Ayat 14 : Surah al-Mulk )
Dia Maha Halus (terperinci), tidak ada sesuatu yang tersembunyi daripada-Nya. Dia Maha Mengerti, Maha Tahu apa yang patut bagi hamba-Nya. Jika Dia memberi, itu adalah untuk memperkenalkan Diri-Nya yang bersifat dengan semua sifat kebaikan dan kemurahan. Jika Dia tidak memberi, itu adalah untuk memperkenalkan diri-Nya yang bersifat dengan semua sifat keagungan dan keperkasaan..
Pemberian membuat hamba mengenali kemurahan dan kebaikan-Nya. Penolakan membuat hamba mengenali kekerasan dan keperkasaan-Nya. Bila Dia dikenali secara positif dan negatif baharulah wujud pengenalan yang sejati. Perkara yang positif tidak lagi menutup yang negatif dan begitu juga sebaliknya. Jadi, bila hikmat penolakan-Nya difahami maka penolakan itu tidak akan membuat hati berasa gundah gulana sebaliknya akan wujudlah perasaan bahawa Allah s.w.t melihatnya, menguruskan kehidupannya, memberi nasihat dan tunjuk ajar agar dia selamat dalam perjalanannya.
Jalan Kepada Allah SWT
KADANGKALA DIBUKAKAN KEPADA KAMU PINTU TAAT TETAPI TIDAK DIBUKAKAN PINTU MAKBUL PERMINTAAN. KADANGKALA KAMU TERDORONG KE DALAM DOSA TETAPI DOSA ITU MENJADI SEBAB MENYAMPAIKAN KAMU (KEPADA ALLAH S.W.T).
MAKSIAT YANG MELAHIRKAN RASA HINA DIRI (KEPADA ALLAH S.W.T) DAN RASA BERHAJAT KEPADA-NYA LEBIH BAIK DARIPADA TAAT YANG MELAHIRKAN RASA MEGAH DAN TAKBUR.
Allah s.w.t menyediakan beberapa jalan bagi hamba-Nya mendekatkan diri kepada-Nya. Ada jalan positif dan ada jalan negatif. Jalan positif adalah jalan taat dan jalan negatif adalah jalan maksiat. Kedua-dua jalan tersebut berbeza pada permulaannya tetapi mempunyai persamaan pada akhirannya. Walau jalan mana yang dilalui ia tidak sunyi dari ujian. Orang yang melalui jalan taat berkemungkinan diuji dengan permintaannya tidak dimakbulkan. Ujian yang seperti ini baik bagi mendidik rohaninya. Biasanya orang yang mengambil jalan taat cenderung untuk melihat kepada amal ketaatannya. Amal ibadat yang dilakukan dengan banyak sangat menyenangkan hatinya. Dia mudah merasakan ketaatannya itulah yang menyampaikannya kepada Tuhan. Dia melihat perubahan yang berlaku pada dirinya dari malas beribadat kepada rajin beribadat, sifat-sifat yang tidak baik tertanggal darinya, lalu dia mengaitkan kebaikan yang berlaku pada dirinya dengan amal ibadat yang dikerjakannya. Dia meletakkan pencapaiannya pada amalannya. Dia juga mudah merasakan bahawa dirinya sudah suci bersih, sudah hampir dengan Allah s.w.t dan tentu sahaja Allah s.w.t memperkenankan segala permintaannya.
Tanpa dia menyedari perasaan yang demikian menghalang kemajuan rohaninya. Perasaan tersebut memperkuatkan kesedaran diri sendiri kerana dia dikuasai oleh kepentingan diri sendiri. Sifat ini tidak sesuai bagi mendekati Allah s.w.t kerana orang yang hampir dengan Allah s.w.t lebih senang dengan pilihan Allah s.w.t dari kehendak diri sendiri. Bertambah hampir dengan Allah s.w.t bertambahlah dia karam dalam kerelaan terhadap takdir Ilahi, sehingga dia tidak mempunyai kepentingan diri sendiri lagi, semuanya diserahkan kepada Allah s.w.t.
Orang yang masih mempunyai hajat dan permintaan adalah orang yang belum bulat penyerahannya kepada Allah s.w.t. Dia masih dihijab oleh kepentingan duniawi atau ukhrawi. Jika Allah s.w.t berkehendak menyampaikan hamba ini kepada-Nya, maka Dia akan menghancurkan kepentingan dirinya sehingga dia tidak berhajat kepada apa-apa lagi kecuali sampai kepada Allah s.w.t. Dalam proses menghancurkan kepentingan diri itu permintaannya tidak dimakbulkan. Apabila permintaannya tidak dimakbulkan sedangkan amal ketaatannya sangat banyak, dia akan mengalihkan pandangannya dari ketaatannya kepada Allah s.w.t yang memegang hak memberi dan menolak. Dia tidak lagi melihat amal ketaatannya menjadi sebab untuknya sampai kepada Allah s.w.t. Dia akan melepaskan pergantungan kepada amal ketaatan lalu dia menyerahkan dirinya kepada Allah s.w.t. Penyerahan membawanya reda dengan apa yang Allah s.w.t takdirkan untuknya. Apabila dia reda dengan Allah s.w.t dan Allah s.w.t reda dengannya maka dia dibawa hampir kepada-Nya. Masuklah dia ke Hadrat Allah s.w.t tanpa sebarang kepentingan diri sendiri.
Jalan satu lagi adalah jalan orang yang melakukan kesalahan, dosa dan maksiat. Kebanyakan orang yang sampai kepada Allah s.w.t, melalui jalan ini. Syaratnya mereka tidak berputus asa dari rahmat Allah s.w.t. Manusia pertama diciptakan Allah s.w.t, iaitu Adam a.s telah melakukan kesalahan kerana tidak berpegang kepada amanat yang Allah s.w.t pertaruhkan kepadanya. Firman Allah s.w.t:
Kemudian mereka berdua (Adam dan Hawa) memakan (buah) dari (pohon) itu, lalu terdedahlah kepada mereka aurat masing-masing, dan mereka mulailah menutupnya dengan daun-daun dari syurga; dan dengan itu derhakalah Adam kepada Tuhannya, lalu tersalah jalan (dari mencapai hajatnya). Kemudian Tuhannya memilihnya (dengan diberi taufik untuk bertaubat), lalu Allah menerima taubatnya serta diberi petunjuk. ( Ayat 121 – 122 : Surah Taha )
Adam a.s telah melakukan kesalahan tetapi beliau a.s mengakui kesalahan tersebut dan bertaubat kepada Allah s.w.t. Allah s.w.t menerima taubat beliau a.s dan menjadikan beliau a.s sebagai hamba pilihan dan membimbingnya. Apa yang berlaku kepada Adam a.s seharusnya menjadi teladan kepada umat manusia sekaliannya. Adam a.s tidak berdolak-dalik, tidak mengada-adakan alasan. Beliau a.s mengakui dengan jujur akan kesilapannya dan memohon keampunan dari Allah s.w.t serta berserah diri kepada-Nya. Kesilapan Adam a.s diabadikan di dalam kitab-kitab suci, dibaca oleh semua umat manusia pada semua zaman. Adam a.s tidak terkilan kerana Allah s.w.t mendedahkan kesalahannya kepada sekalian makhluk. Beliau a.s tidak meminta Allah s.w.t menyembunyikan kesalahan yang telah dibuatnya itu. Beliau a.s reda dengan apa juga keputusan Allah s.w.t. Apabila seseorang reda dengan keputusan Allah s.w.t, tidak ada siapa lagi yang ditakutinya kecuali Allah s.w.t.
Sikap yang ditunjukkan oleh manusia umum berbeza daripada sikap yang telah ditunjukkan oleh bapa mereka, Adam a.s. Biasanya ejekan, sindiran dan kata-kata orang ramai mempengaruhi jiwa seseorang yang pernah berbuat salah. Dia akan berikhtiar bersungguh-sungguh untuk menyembunyikan kesalahannya. Jika kesalahannya diketahui oleh orang lain dia akan berasa terhina. Manusia umum malu kepada sesama manusia tetapi tidak malu kepada Allah s.w.t yang sentiasa melihat perbuatannya. Berbeza dengan Adam a.s, malunya kepada Allah s.w.t membuatnya lupa kepada yang lain dan rela dengan apa juga yang Allah s.w.t kenakan kepadanya sebagai hukuman. Beliau a.s diberikan hukuman yang sangat berat, iaitu dikeluarkan dari syurga, tempat yang senang lenang, kepada dunia yang penuh dengan kepayahan. Beliau a.s menerima kehidupan yang sukar ini dan menghabiskan hayatnya di atas muka bumi dengan berbuat taat kepada Allah s.w.t. Allah s.w.t memuji sikap tersebut:
Dan orang-orang yang apabila melakukan perbuatan keji, atau menganiaya diri sendiri, mereka segera ingat kepada Allah lalu memohon ampun akan dosa mereka, dan sememangnya tidak ada yang mengampunkan dosa-dosa melainkan Allah, dan mereka juga tidak meneruskan perbuatan keji yang mereka telah lakukan itu, sedang mereka mengetahui (akan salahnya dan akibatnya). Orang-orang yang demikian sifatnya, balasannya ialah keampunan dari Tuhan mereka, dan syurga-syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, mereka kekal di dalamnya; dan yang demikian itulah sebaik-baik balasan (bagi) orang-orang yang beramal. ( Ayat 135 – 136 : Surah a-li ‘Imran )
Kesalahan, maksiat dan dosa sering melahirkan manusia yang insaf, bertaubat dan kembali kepada Allah s.w.t. Mereka menghambakan diri sepenuhnya kepada-Nya. Allah s.w.t senang dengan mereka lalu Dia membawa mereka hampir dengan-Nya. Keadaan mereka jauh lebih baik daripada orang yang pada zahirnya kuat berbuat taat tetapi batinnya diselimuti oleh ujub dan takbur, melihat diri sudah sempurna dan berbangga dengan banyaknya amal yang dikerjakan dan ilmu yang dimiliki. Orang yang ujub dan takbur dijauhkan dari Allah s.w.t, sedangkan mereka menyangka bahawa mereka didekatkan.
Hamba Berjahat Kepada Tuhan
BERHAJAT KEPADA ALLAH S.W.T ADALAH SIFAT SEBENAR ZAT DIRI KAMU, SEMENTARA SEBAB MUSABAB (YANG MENGENAI KAMU) ADALAH PERINGATAN KEPADA SESUATU YANG TERSEMBUNYI DARIPADA DIRI KAMU TENTANGNYA (SIFAT KEASLIAN KAMU) DAN KEADAAN KAMU YANG BERHAJAT (KEPADA ALLAH S.W.T) ITU TIDAK DAPAT DIANGKAT OLEH SESUATU YANG SIFATNYA MENDATANG.
SEBAIK-BAIK WAKTU KAMU ADALAH DI MANA KAMU MELIHAT DALAMNYA ADA HAJAT (KEPADA ALLAH S.W.T) DAN KAMU KEMBALI KEPADA KEHINAAN KAMU (MEMPERAKUI PERGANTUNGAN KAMU KEPADA ALLAH S.W.T).
Allah s.w.t menyempurnakan nikmat-nikmat penciptaan dan keberlangsungan kewujudan hamba-hamba-Nya. Wujud makhluk bergantung kepada Wujud Allah s.w.t dan kesinambungan kewujudan makhluk bergantung kepada kurniaan Allah s.w.t. Apa sahaja yang diciptakan oleh Allah s.w.t tidak boleh melepaskan diri dari pergantungan kepada Allah s.w.t. Keadaan berhajat kepada Allah s.w.t ini menjadi sifat asli bagi makhluk. Tidak ada satu pun makhluk yang mampu meneruskan kewujudan dan kehidupannya tanpa sokongan dari Allah s.w.t.
Dalam menjalani kehidupannya seseorang hamba Allah s.w.t didatangi oleh berbagai-bagai sebab musabab. Secara zahirnya kehidupan hamba Allah s.w.t dipengaruhi oleh hukum sebab musabab. Ada anak sebab ada hubungan ibu dengan bapa. Berlaku kematian disebabkan oleh penyakit. Adanya proses pembesaran sebab ada makanan yang berkhasiat. Sesuatu perkara berlaku sesuai dengan sebab yang menghasilkan akibat. Sistem sebab dan akibat ini sangat rapi sehingga manusia dapat menyusun peraturan sebab musabab yang boleh menghasilkan akibat. Kerapian susunan sistem sebab musabab menambahkan lagi pengaruhnya kepada hati manusia. Apabila perhatian hanya tertumpu kepada sistem sebab musabab mereka pun melupai asal kejadian dan sifat asli mereka. Mereka lupa kepada zat mereka iaitu ‘adam yang menerima nikmat kewujudan dan nikmat kesinambungan kewujudan. Mereka tidak dapat melihat bahawa sebab musabab adalah sebahagian daripada nikmat kurniaan Allah s.w.t yang menyambung kehidupan mereka.
Dalam menjalani kehidupannya seseorang hamba Allah s.w.t didatangi oleh berbagai-bagai sebab musabab. Secara zahirnya kehidupan hamba Allah s.w.t dipengaruhi oleh hukum sebab musabab. Ada anak sebab ada hubungan ibu dengan bapa. Berlaku kematian disebabkan oleh penyakit. Adanya proses pembesaran sebab ada makanan yang berkhasiat. Sesuatu perkara berlaku sesuai dengan sebab yang menghasilkan akibat. Sistem sebab dan akibat ini sangat rapi sehingga manusia dapat menyusun peraturan sebab musabab yang boleh menghasilkan akibat. Kerapian susunan sistem sebab musabab menambahkan lagi pengaruhnya kepada hati manusia. Apabila perhatian hanya tertumpu kepada sistem sebab musabab mereka pun melupai asal kejadian dan sifat asli mereka. Mereka lupa kepada zat mereka iaitu ‘adam yang menerima nikmat kewujudan dan nikmat kesinambungan kewujudan. Mereka tidak dapat melihat bahawa sebab musabab adalah sebahagian daripada nikmat kurniaan Allah s.w.t yang menyambung kehidupan mereka.
Orang yang telah lupa kepada keaslian diri mereka perlu diberi peringatan. Peringatan yang datang kepada mereka juga dalam bentuk sebab musabab. Mereka dibiarkan mengadakan sebab tetapi akibat yang sesuai dengan sebab tersebut ditahan, sebaliknya akibat yang tidak diduga dilepaskan. Mereka dihadapkan dengan keadaan di mana sebab tidak mampu mempengaruhi akibat. Ikhtiar mereka tidak menghasilkan pulangan yang sepatutnya diperolehi. Ini membuat mereka berasa kecewa dengan sebab-sebab. Kekecewaan tersebut mengalihkan pandangan mereka kepada sifat keaslian mereka iaitu berhajat kepada Allah s.w.t yang menguasai semua sebab dan akibat. Mereka dapat melihat dengan jelas bahawa berpegang kepada hukum sebab musabab tidak melepaskan pergantungan mereka kepada Allah s.w.t. Sebab musabab adalah perkara yang datang kemudian sedangkan susunan tadbir Allah s.w.t datang lebih dahulu, menemaninya sejak mula hinggalah sampai bila-bila.
Tidak ada kekuatan sebab musabab yang dapat mengubah apa yang telah diatur oleh Allah s.w.t. Peraturan Allah s.w.t sahaja yang menyambung penghidupan mereka, bukan sebab musabab yang datang kemudian. Orang yang melihat kepada hakikat ini hanya mengambil sebab musabab sebagaimana layaknya sebagai manusia tetapi mereka tidak meletakkan keberkesanannya kepada sebab musabab. Kekuasaan Allah s.w.t sahaja yang menentukan keberkesanan sesuatu sebab. Oleh sebab itu sifat asli hamba yang berhajat kepada Allah s.w.t tidak dapat diangkat oleh sebab musabab yang datang kemudian daripadanya.
Seseorang yang kembali kepada keasliannya mengakui akan keadaan dirinya yang lemah dan berhajat kepada Allah s.w.t. Mereka akan mengisi setiap ruang dan waktu kehidupannya dengan memperteguhkan pergantungannya kepada Allah s.w.t. Zahirnya mengadakan sebab musabab tetapi batinnya berserah kepada Allah s.w.t yang menguasai semua sebab dan menentukan akibat. Dia menghayati nikmat kesinambungan kewujudan sebagai hamba Allah s.w.t. Dia menjalani kehidupan yang penuh dengan sebab musabab tanpa mengalih pandangan daripada as-Samad, Tuhan yang dihajati oleh semua makhluk.
Takdir Adalah Ujian Allah SWT
SEHARUSNYA TIDAK MENEKAN (JIWA KAMU) OLEH BALA YANG MENIMPA KAMU KERANA KAMU MENGETAHUI BAHAWA TUHAN MENGUJI KAMU DAN DIA YANG MENIMPAKAN KAMU DENGAN TAKDIR-NYA ADALAH TUHAN YANG BIASA MEMBERIKAN KEPADA KAMU YANG BAIK-BAIK YANG DIPILIH UNTUK KAMU.
SESIAPA YANG MENYANGKA TIADA KEHALUSAN HIKMAT PADA TAKDIR YANG MENIMPANYA, ITU ADALAH KERANA SINGKAT PANDANGAN (MATA HATINYA).
Seseorang itu memiliki dua aspek kewujudan. Pertama ialah yang diciptakan dari ‘adam, dinamakan kewujudan zahir. Ia menjadi sarang, sarung atau bekas yang tidak mempunyai sebarang daya dan upaya, tidak boleh mendengar, melihat, berkata-kata, merasa, bergerak dan lain-lain. Ia boleh dianggap sebagai alat yang hanya menurut si pengguna alat itu. Kewujudan zahir pada hakikatnya tidak wujud. Kewujudan aspek kedua adalah kewujudan rohani yang dinisbahkan kepada Allah s.w.t, tidak kepada ‘adam. Wujud rohani inilah wujud yang sebenar, iaitu yang dibahasakan sebagai diri, hati, nafsu dan ungkapan “AKU”. Gabungan dua jenis kewujudan tersebut dinamakan manusia. Jika manusia itu tidak mempunyai jasad, iaitu jika ia hanya berada dalam aspek rohani sahaja, maka ia adalah malaikat. Jika ia hanya mempunyai jasad sahaja, maka ia adalah mayat.
Wujud yang datang dari ‘adam kembali kepada ‘adam, akan rosak binasa dan hilang terus. Ia bermula dari tiada dan kesudahannya pun tiada juga. Tidak ada apa-apa yang dapat dipertahankan dari kewujudan jenis ini. Ia juga tidak dapat dipertanggungjawabkan kerana apabila ia binasa tanggungjawabnya juga binasa. Fungsi kewujudan yang dari ‘adam ini adalah menjadi alat kepada wujud rohani. Wujud rohani memerintah dan menggunakan wujud ‘adam (benda). ‘Adam dalam keadaan aslinya sebagai ‘adam tidak memiliki sebarang pengaruh atau kesan. Tetapi, bila ia menerima nikmat penciptaan, diberi suasana kebendaan, memakai berbagai-bagai rupa, maka ia juga diberi keupayaan untuk merangsang, mempengaruh dan menarik. Semua keupayaan tersebut tertuju kepada rohani. Alam benda yang diciptakan dari ‘adam bertindak sebagai besi berani menarik rohani agar menghadap kepadanya. Tindakan dan kesan dari alam benda kepada rohani itu dinamakan ujian. Semua yang diciptakan oleh Allah s.w.t menjadi alat yang menguji rohani. Benda-benda alam, kejadian dan pengalaman merupakan alat-alat yang menyampaikan ujian, tetapi bukanlah ujian itu sendiri. Ujian yang sebenar adalah cetusan yang lahir dalam hati ketika menerima kedatangan benda-benda alam, kejadian dan peristiwa. Misalnya, kematian orang yang dikasihi dialami oleh semua orang tetapi reaksi hati masing-masing tidak sama. Ada orang yang menangis, meraung, menghempaskan badannya ketika menghadapi kematian orang yang dikasihi itu. Ada pula orang yang menerimanya dengan tenang. Kejadian yang dihadapi adalah sama tetapi kesannya pada hati tidak sama. Orang yang menangis dan meraung merasakan dia menghadapi ujian yang sangat hebat. Orang yang bertenang tidak merasakan sebarang ujian, malah dia menganggap apa yang berlaku sebagai takdir Allah s.w.t. Apa yang mesti berlaku apabila berlaku tidak dianggapnya sebagai ujian. Semuanya adalah takdir. Misal yang lain pula, ada orang yang tidak dapat tidur lena kerana ada orang yang telah menyindirnya. Dirasakannya peristiwa itu sebagai bala yang sangat besar. Orang lain pula menganggap sindiran sebagai gurauan yang remeh-temeh, tidak perlu disimpan di dalam hati. Sebenarnya apa yang berlaku dan apa yang orang lain kata tidak memberi sebarang kesan. Perkara yang memberi kesan adalah apa yang diri sendiri tekankan kepada dirinya. Benda-benda alam, kejadian dan peristiwa tidak mampu menekan jiwa seseorang. Orang itulah yang menekan jiwanya sendiri.
Segala yang dihadapi oleh seseorang itu dinamakan takdir. Takdir tidak menekan jiwa seseorang. Takdir adalah pembahagian yang Allah s.w.t telah tetapkan bagi setiap hamba-Nya. Tuhan yang membahagikan takdir itu adalah Tuhan Yang Maha Pengasih dan Maha Penyayang. Takdir yang dipilih untuk hamba-Nya berada dalam sempadan kasihan belas dan kehalusan budi-Nya. Dia tidak berlaku kejam dan zalim kerana kejam dan zalim bukanlah sifat-Nya. Jika kita salah mentafsirkan kehalusan pembahagian takdir-Nya yang penuh dengan hikmat kebijaksanaan, itu adalah kerana kejahilan diri kita sendiri, ditambah lagi dengan lemahnya iman di hati.
Ilmu dan iman adalah pertahanan hati. Jika pertahanan ini lemah mudahlah bagi musuh-musuhnya mengenakan tipu daya yang menyebabkan apa sahaja yang mengenainya akan menjadi bala. Kekayaan akan membuatnya tamak. Kekuasan akan membuatnya hilang pedoman. Ilmu membuatnya ego. Apa juga yang dimilikinya tidak membuatnya berasa tenteram. Jiwanya sentiasa keresahan. Inilah orang yang tidak lepas dari ujian dan bala.
Hikmat yang menyentuh tentang ujian ini dikemukakan selepas disentuh tentang Sir dan Nur sifat Allah s.w.t yang membawa kita mengingati hamba-hamba pilihan iaitu para anbia. Mereka merupakan golongan yang paling banyak menerima ujian. Ujian merupakan perjalanan hidup nabi-nabi. Mereka telah memberi petunjuk bagaimana cara menghadapi ujian. Alat menghadapi ujian adalah berserah diri kepada Allah s.w.t. Di dalamnya ada sabar dan syukur. Ujian bala dihadapi dengan sabar dan ujian nikmat dihadapi dengan syukur.
Hati yang disinari oleh Sir yang menerima sinaran Nur sifat Allah s.w.t berpandangan jauh, mampu menyaksikan hikmah pada setiap perbuatan Allah s.w.t, baik dalam bala mahupun dalam nikmat. Bala dan nikmat tidak menghijab hati untuk melihat keadilan-Nya, kemurahan-Nya, kasih sayang-Nya, kasihan belas-Nya dan kebijaksanaan-Nya.
Hati yang disinari oleh Sir yang menerima sinaran Nur sifat Allah s.w.t berpandangan jauh, mampu menyaksikan hikmah pada setiap perbuatan Allah s.w.t, baik dalam bala mahupun dalam nikmat. Bala dan nikmat tidak menghijab hati untuk melihat keadilan-Nya, kemurahan-Nya, kasih sayang-Nya, kasihan belas-Nya dan kebijaksanaan-Nya.
Kerinduan Untuk Melihat Allah SWT
KAMU DIANJURKAN KETIKA HIDUP KINI SUPAYA MEMPERHATIKAN CIPTAAN-NYA DAN AKAN DIPERLIHATKAN KEPADA KAMU DI AKHIRAT KELAK AKAN KESEMPURNAAN ZAT-NYA.
ALLAH S.W.T MENGETAHUI AKAN KEADAAN KAMU YANG TIDAK SABAR MERINDUI UNTUK MELIHAT-NYA, MAKA DIPERLIHATKAN KEPADA KAMU KEASLIAN CIPTAAN-NYA.
Hamba Allah s.w.t yang sampai kepada makam makrifat akan berhadapan dengan suasana kehairan-hairanan, di mana segala pertunjukan hilang, segala isyarat lenyap dan segala bahasa menjadi kelu. Allah s.w.t tidak dapat dilihat, tidak dapat diisyaratkan dan tidak dapat dibahasakan. Itulah zat Ilahiat Yang Maha Tinggi, tidak dapat disentuh oleh pandangan, ilmu atau makrifat. Para hamba yang mencintai-Nya akan menderita merindui-Nya. Walau bagaimana pun kerinduan namun, tidak ada cara untuk melihat Zat-Nya Yang Maha Sempurna. Tinggallah hamba dengan hatinya terbakar merindui Kekasih Yang Maha Tinggi, Maha Sempurna, tidak berkuasa dia mencapai-Nya. Hamba yang dalam keadaan begini terpisah jauh dari alam dan isinya. Hatinya kosong dari sekalian makhluk. Pandangannya tidak terlekat pada apa yang dipandang. Dia berada dalam satu suasana ‘di luar’ dari segala sesuatu. Dia berada pada zaman sebelum alam diciptakan, zaman yang tidak ada waktu dan masa, bahkan zaman itu sendiri tidak ada. Hatinya dikuasai oleh keabadian kerana sifat kemakhlukannya sudah hilang. Dia memandang kepada Qadak dan tidak terlihat lagi Qadar. Dia lupa kepada dirinya dan tidak tahu apakah zat dirinya. Dia merasakan telah memasuki satu alam ghaib dan terus menerus ghaib, maha ghaib sehingga dirinya hilang dalam keghaiban itu, bahkan ghaib itu juga hilang. Dirinya tidak boleh ditemui lagi dan dia tidak mengetahui siapakah dirinya yang berdiri di atas muka bumi. Banyak lagi perasaan yang menyelimuti hati seseorang tatkala berada dalam suasana kehairan-hairanan.
Jika seseorang pernah merindui seorang gadis yang sangat dicintainya, ketahuilah bahawa kerinduan terhadap Allah s.w.t yang dicintai lebih hebat lagi membakar hati. Orang boleh berdiri tegak selama satu minggu tanpa berkelip matanya lantaran tidak tahan merindui Allah s.w.t, Kekasih sejati. Orang yang sedang merindui Allah s.w.t boleh masuk ke dalam api tanpa terbakar bulu romanya, boleh masuk ke dalam laut tanpa tenggelam. Peringkat ini dinamakan peringkat bahaya, kerana orang ramai yang memahami dan bersimpati dengan pemuda yang menderita kerana merindui gadis yang dicintainya, tidak mengerti rindu-dendam hati yang merindui Allah s.w.t. Tidak ada makhluk yang boleh mengubati hatinya. Tidak ada air yang boleh menghilangkan dahaganya. Kecintaan dan kerinduan yang melanda hatinya membebaskannya dari sekalian yang maujud, mengganggu hubungan kekeluargaan dan kemasyarakatan. Banyak terjadi fitnah terhadap dirinya. Jika dia berlarutan dalam keadaan begitu dia akan terpisah dari menjadi penduduk bumi dan tidak juga menjadi penduduk langit. Dia tidak memikul beban penduduk bumi dan tidak pula memikul beban penduduk langit. Penduduk bumi tenggelam dalam kerakusan terhadap perhiasan dunia dan memperhambakan diri kepada hawa nafsu. Penduduk langit asyik dengan memuji dan memuja Allah s.w.t, berzikir dan membesarkan Nama-Nya. Para pencinta Allah s.w.t bebas dari kedua-duanya dan dia masuk ke dalam makam Sir (Rahsia), rahsia antara Tuhan dengan hamba-Nya. Si hamba menjadi hamba Tuhan secara mutlak iaitu secara awal, akhir, zahir dan batin. Dia menanti warna celupan yang Allah s.w.t akan pakaikan kepadanya. Apabila Allah s.w.t telah mewarnai dirinya mengikut kehendak-Nya sendiri, si hamba itu dikembalikan kepada keinsanannya, menjadi hamba Rabbani yang pekerjaannya hanyalah menjalankan perintah Allah s.w.t yang mengenai dirinya dan juga orang lain. Hamba Rabbani melaksanakan perintah Allah s.w.t tanpa bertangguh dan tanpa timbang-tara. Setiap hukum dijalankan dengan tepat.
Hamba yang kembali kepada keinsanan memiliki semula kesedaran individunya. Dia menyedari dirinya dan makhluk lainnya. Dia kembali memerhatikan alam dan isinya. Kali ini dia melihat ciptaan Tuhan dalam keadaannya yang asli. Pandangannya tidak lagi tertipu oleh kesan ‘adam terhadap alam. Apabila kesan ‘adam telah terhapus dari pandangan dapatlah dia melihat bahawa Allah s.w.t meliputi sekalian kejadian-Nya. Ke mana pun dihalakan pandangan di situlah Wajah Allah s.w.t. Dia melihat ketuhanan Allah s.w.t dalam segala perkara. Ini membuat hatinya terubat dan dia merasai kedamaian sekalipun tidak melihat Zat Allah s.w.t Yang Maha Sempurna. Alam maya ini menjadi kitab yang nyata (kitabul mubin) untuknya berhubung dengan Allah s.w.t, menjadi cermin yang memanjangkan bayangan Tuhan kepada hatinya. Dia tidak lagi tertanya-tanya di manakah Allah s.w.t kerana Dia tidak pernah berpisah darinya dan juga tidak berpisah dengan kejadian-Nya yang lain. Terlepaslah dia dari kekacauan kalbu yang dihadapi oleh ahli ibadat dan ahli zuhud yang diceritakan oleh Hikmat 125 yang lepas. Makam keteguhan ini adalah makam Sir (Rahsia hati) dan makam Sir inilah yang memperolehi sembahyang berkekalan (salat daim) kerana Sir tidak pernah berhenti dan tidak pernah berpaling dari menghadap Allah s.w.t. Makam ini hanya disediakan kepada hamba pilihan yang telah membuang segala kepentingan diri sendiri, reda dengan Allah s.w.t dan menjual dirinya kepada Allah s.w.t dengan harga sabar, reda, tawakal dan ikhlas. Allah s.w.t memakaikan kepadanya pakaian hamba kepada Maharaja sekalian kerajaan!
sumber: www.sufinews.com
Tidak ada komentar:
Posting Komentar